MELAKA, 23 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri sedang menguruskan kebajikan seorang warga emas orang kurang upaya (OKU) yang hidup dalam keadaan daif di sini bagi memastikan kehidupannya lebih terjamin dan selesa.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Nordin berkata Mazalan Ahmad, 61, yang kini menjalani rawatan di Hospital Melaka akan ditempatkan di sebuah pusat jagaan warga emas swasta di Muar, Johor selepas dibenarkan keluar dari wad.
Beliau berkata sebahagian kos penjagaan di pusat berkenaan yang menyediakan penjagaan rapi terutama bagi pesakit kencing manis akan ditanggung Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan sebahagiannya lagi ditanggung Mazalan.
"Kita bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menguruskan pencen ilat yang patut diterimanya iaitu sebanyak RM975 sebulan serta Perkeso juga akan membantu dari segi keperluan asas antaranya bekalan makanan, lampin pakai buang dan kaki palsu," katanya kepada pemberita selepas melawat warga emas itu di Hospital Melaka di sini hari ini.
Lawatan beliau turut disertai Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Halyjah Muhammad dan wakil agensi lain antaranya Perkeso dan MAIM.
Beliau berkata kesihatan Mazalan kini bertambah baik berbanding keadaannya yang tidak terurus dan ditemukan dalam keadaan hipoglisemia di rumahnya pada awal Mei.
"Sebelum ini disebabkan diabetes kronik, kaki kanan Mazalan terpaksa dipotong dan berkemungkinan sebahagian kaki kiri juga perlu dipotong dalam masa terdekat kerana gangren,” katanya dan memaklumkan warga emas itu tidak mempunyai anak manakala isterinya meninggal dunia lima tahun lepas.
Sebelum ini, tular di media sosial Kalsom bersama penduduk setempat dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung telah membantu menyelamatkan Mazalan yang ditemukan di rumahnya dalam keadaan terbaring dan uzur selain tinggal bersama ayam dan kucing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial