Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Mesyuarat Persediaan Cerminkan Hasrat Mendalam Perkukuh Hubungan ASEAN-GCC-China

23/05/2025 10:27 PM

 

Oleh Vikneswaran Raman

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Mesyuarat persediaan hari ini untuk memuktamadkan agenda bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan jelas mencerminkan hasrat yang mendalam untuk kerjasama strategik antara Asia Tenggara, enam negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang kaya dengan minyak dan kuasa besar ekonomi China.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata kalangan pegawai bertekad menyediakan dokumen yang akan menghasilkan keputusan bermakna untuk membawa kerjasama antara tiga pihak ke tahap yang lebih tinggi.

“Mesyuarat hari ini mencerminkan komitmen bersama yang kuat untuk mengeluarkan dokumen hasil yang kukuh dan bermakna,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Persediaan Pegawai Kanan ASEAN-GCC-China di sini, hari ini.

Beliau berkata perbincangan hari ini tertumpu kepada merumuskan keputusan yang mencerminkan pencapaian dan hala tuju masa depan kerjasama strategik antara mereka, terutama dengan mengambil kira cabaran geopolitik di arena antarabangsa.

Ad Banner

Selain mesyuarat untuk persiapan Sidang Kemuncak ASEAN, para pegawai juga memuktamadkan dokumen untuk Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua dan SIdang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama yang akan diadakan pada 26 dan 27 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Mesyuarat persediaan hari ini dimulakan dengan mesyuarat Jawatankuasa Perwakilan Tetap ke ASEAN (CPR) dan mesyuarat Persediaan Pegawai Kanan ASEAN pada sebelah pagi, diikuti mesyuarat Persediaan Pegawai Kanan ASEAN-GCC pada sebelah petang.

Beliau berkata Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dijangka menghasilkan dua dokumen penting, iaitu Kenyataan Bersama dan Deklarasi Bersama, manakala Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China akan mengeluarkan Kenyataan Bersama Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China -- kedua-duanya memberi petanda baik dalam mencapai hasil yang seimbang dan membawa manfaat bersama yang meningkatkan kestabilan dan kemakmuran serantau.

“Kita perlu memberi perhatian mendalam kepada butiran terperinci mengenai isu yang akan dimasukkan dalam dokumen hasil itu. Ini memerlukan rundingan namun, semua pihak dari ASEAN, GCC dan China telah menunjukkan semangat dengan sifat membina untuk memastikan hasil yang berjaya daripada sidang kemuncak yang akan datang,” katanya.

Pada sebelah malamnya, Amran menjadi hos majlis makan malam untuk para pegawai kanan, yang turut dihadiri wakil daripada Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC), GCC dan China di Estate Federal Hill, Bukit Damansara.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mempertingkatkan persiapan bagi memastikan ketibaan ketua negara dan perwakilan berjalan lancar, dengan sebanyak 6,200 anggota polis terlibat dalam tugas bergilir-gilir 24 jam.

Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman DCP M. V. Sri Kumar berkata sekurang-kurangnya empat latihan simulasi telah dilaksanakan melibatkan kerjasama erat antara PDRM, Kementerian Luar (KLN) dan pelbagai agensi berkaitan.

Selain mesyuarat peringkat tinggi, pameran produk dan reruai jualan yang diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 turut dibuka hari ini. Orang ramai boleh mengunjungi pameran berkenaan hingga Ahad, selepas itu ia akan dibuka secara eksklusif kepada pemimpin dan delegasi ASEAN bermula pada Isnin, 26 Mei.

GCC merangkumi Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) ditubuhkan pada 1981 untuk memperkukuh kerjasama politik dan ekonomi dalam kalangan negara Teluk.

Bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 menandakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN, selepas 1977, 1997, 2005, dan 2015.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan