Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali
KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Peranan Jawatankuasa Perwakilan Tetap ke ASEAN (CPR) adalah penting dalam memastikan negara anggota kekal bersatu dan bergerak seiring ke arah integrasi serantau meskipun berdepan kepelbagaian sistem politik, keutamaan nasional dan tahap pembangunan yang berbeza, kata dua pakar akademik.
Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata sejak penubuhannya pada 1967, ASEAN telah berkembang daripada hanya tiga kepada 10 negara anggota yang disatukan atas dasar kepentingan bersama.
"Memang tidak mudah untuk menyatukan semua negara ASEAN memandangkan kepentingan nasional, ekonomi fiskal, budaya dan bahasa yang berbeza.
“Namun, kekuatan rantau ini terletak pada potensi pasaran yang besar, dengan lebih 680 juta penduduk dan nilai ekonomi mencecah trilion dolar," katanya dalam siaran khas di Bernama TV bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 malam tadi.
Beliau berkata semangat ASEAN Way atau Cara ASEAN yang menekankan pendekatan tidak campur tangan dan penyelesaian melalui konsensus kekal relevan walaupun sering dikritik.
“Contohnya, usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan krisis Myanmar bukan bermaksud mengiktiraf junta, tetapi demi mencari penyelesaian kepada isu kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata CPR memainkan peranan penting sebagai penghubung antara keputusan peringkat tertinggi pemimpin ASEAN dengan pelaksanaan pada peringkat domestik setiap negara anggota.
Sementara itu, Pengarah Program MBA di Putra Business School Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff menyatakan bahawa aspek ekonomi menjadi platform paling efektif untuk mencapai kesepakatan dalam kalangan negara ASEAN.
"Isu ekonomi ialah isu pokok yang memberikan kesan langsung terhadap rakyat dan kestabilan kerajaan.
“Sebab itu, CPR berperanan besar dalam memastikan dasar setiap negara selari, terutamanya dalam hal seperti rantaian bekalan, pelaburan dan infrastruktur," katanya dalam siaran khas yang sama.
Beliau berkata pendekatan kerjasama seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang turut disertai oleh 10 negara anggota ASEAN serta keterbukaan kepada teknologi seperti rantaian blok dan kecerdasan buatan (AI) mampu memperkukuh daya saing di rantau ini.
“Bukan semua pelaburan asing sesuai untuk semua negara. Jadi, semangat ASEAN ialah mengenal pasti kelebihan setiap negara, contohnya jika Malaysia tidak dapat menampung pelaburan pembuatan, mungkin Kemboja atau Laos boleh menerima dan negara seperti kita menyumbang dari segi kepakaran,” katanya.
Razman juga menekankan pentingnya sokongan infrastruktur rentas sempadan seperti inisiatif Jalur dan Laluan oleh China yang merangkumi negara-negara ASEAN dan mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi.
Kedua-dua profesor sependapat bahawa ASEAN hanya mampu menjadi kuasa sederhana yang berpengaruh pada peringkat global jika bergerak secara kolektif dalam menyuarakan pendirian diplomatik, khususnya dalam isu seperti Laut China Selatan, krisis Myanmar dan perdagangan global.
Mesyuarat CPR berlangsung di sini semalam sebagai persediaan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Mesyuarat peringkat tinggi itu menghimpunkan wakil-wakil tetap ASEAN, Duta Besar Timor-Leste serta Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC).
Ia diikuti dengan siri mesyuarat persediaan termasuk Mesyuarat Persediaan Pegawai Kanan ASEAN (Prep-SOM), Mesyuarat Persediaan SOM ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Mesyuarat Persediaan ASEAN-GCC-China.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan berlangsung pada 26 dan 27 Mei, disusuli dengan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan.
Sidang kemuncak kali ini yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” menandakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial