PUTRAJAYA, 24 Mei (Bernama) -- Malaysia mengulangi semula komitmennya untuk memastikan pendidikan tinggi mewujudkan persekitaran yang membolehkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang belajar bersama-sama dan saling berkongsi ilmu.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata universiti di Malaysia mencerminkan komitmen ini melalui dasar serta kerjasama yang mengutamakan akses, kolaborasi dan saling menghormati - nilai yang menjadi panduan dalam membuat keputusan serta membina masa depan yang mahu dicapai.
“Komuniti pendidikan tinggi global bimbang mengenai pengurangan usaha ke arah kepelbagaian, kesamarataan dan keterangkuman di Amerika Syarikat (AS).
“Perubahan ini menjejaskan prinsip asas yang selama ini membolehkan universiti membina kepercayaan merentasi sempadan dan mewujudkan peluang untuk perkembangan ilmu secara bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, pentadbiran Presiden Donald Trump dilaporkan menyekat Harvard untuk menerima pelajar asing sekali gus mencetuskan pertikaian dengan universiti tertua di AS itu.
Zambry berkata keputusan berkenaan mencerminkan satu trend yang semakin berleluasa.
Walaupun kes ini bersifat semasa dan biasa, ia memberi isyarat semakin berkurangnya nilai keterbukaan dan keterangkuman dalam pendidikan tinggi.
Zambry berkata Malaysia akan terus menyokong pendidikan yang menyeluruh dan menyokong institusi serta komuniti yang terkesan akibat langkah sekatan itu.
“Kami kekal komited kepada prinsip pendidikan yang memberikan manfaat dan dapat dinikmati oleh semua,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial