Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

LTAPP Catat Hampir Dua Juta Pergerakan Penumpang Suku Pertama 2025

24/05/2025 03:19 PM

GEORGE TOWN, 24 Mei (Bernama) -- Pulau Pinang mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pelancongan serantau, dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) merekodkan hampir dua juta pergerakan penumpang pada suku pertama tahun ini, meningkat 69.55 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata dalam tempoh sama, jumlah penumpang antarabangsa meningkat lebih 80 peratus, manakala penumpang domestik meningkat lebih 57 peratus.

“Kekerapan penerbangan juga meningkat 20.53 peratus bagi penerbangan antarabangsa dan 30.28 peratus untuk penerbangan domestik. Ketibaan pelawat daripada pasaran antarabangsa menunjukkan pertumbuhan kukuh dengan China mencatatkan peningkatan 102.47 peratus.

“Sementara itu, ketibaan dari India melonjak 108.73 peratus, Jepun meningkat 24.7 peratus, diikuti oleh Amerika Syarikat (17.35 peratus) dan United Kingdom (15.82 peratus),” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Matta Fair Pulau Pinang 2025 di Setia SPICE Arena, Bayan Lepas di sini hari ini.

Beliau berkata dalam tempoh 18 bulan lepas, Pulau Pinang mencapai kemajuan sebenar dalam mengukuhkan jaringan dengan penambahan 14 laluan penerbangan antarabangsa terus baharu.

“Penerbangan terus menjimatkan masa perjalanan, mengurangkan kos dan menarik lebih ramai pelancong antarabangsa. Kadar penginapan hotel turut meningkat, industri makanan dan runcit semakin rancak dan keseluruhan suasana bandar mencerminkan pertumbuhan. Ini semua petanda kepada ekonomi pelancongan yang sihat dan aktif,” katanya.

Ad Banner

Mengulas mengenai Matta Fair Pulau Pinang 2025, Wong berkata satu tarikan baharu yang diperkenalkan tahun ini ialah Zon Pelancongan Domestik yang pertama kali diwujudkan dalam edisi Matta Fair Pulau Pinang.

Beliau berkata inisiatif itu sebagai usaha baik untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia meneroka keindahan negara sendiri sambil menekankan bahawa pelancongan domestik mempunyai potensi besar dan zon ini memberi ruang serta tumpuan yang sewajarnya.

Matta Fair Pulau Pinang 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini, menampilkan sebanyak 258 gerai pameran daripada 90 organisasi yang mewakili pelbagai segmen dalam industri pelancongan dan percutian.

Antara peserta yang mengambil bahagian ialah 60 agensi pelancongan, satu pejabat pelancongan kebangsaan, empat pejabat pelancongan kerajaan negeri, 11 hotel dan pusat peranginan, sebuah taman tema, serta sebuah syarikat penerbangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan