KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN (SOM) hari ini menekankan kepentingan sidang kemuncak yang menghimpunkan pemimpin tertinggi 10 negara anggota, sebagai penanda aras dalam memajukan Visi Komuniti ASEAN 2045, bertujuan membentuk blok serantau yang berdaya tahan, inovatif dan berpaksikan rakyat.
Mesyuarat itu dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.
Menurut Wisma Putra, mesyuarat itu diadakan sebagai persediaan bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan, dari 26 hingga 27 Mei ini.
“Mesyuarat turut mengiktiraf Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan ASEAN-GCC-China yang akan datang sebagai platform penting untuk meningkatkan hubungan luar ASEAN, terutamanya dalam bidang tenaga, perdagangan, pelaburan dan pembangunan mampan,” menurut Wisma Putra dalam hantaran Facebook.
Pemimpin SOM ASEAN, bersama-sama pemimpin SOM Timor-Lester turut bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan isu yang menjadi kepentingan bersama.
Menurut Wisma Putra, topik utama yang dibincangkan termasuk pembinaan Komuniti ASEAN, pelaksanaan Visi Komuniti ASEAN 2045, hubungan luar ASEAN, perkembangan Timor-Leste ke arah keanggotaan penuh ASEAN serta Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Edisi tahun ini menandakan kali kelima Malaysia mempengerusikan blok serantau itu selepas 1977,1997, 2005, dan 2015.
Sidang Kemuncak ASEAN serta mesyuarat-mesyuarat berkaitan dijangka membincangkan pelbagai isu mendesak pada peringkat serantau dan global, dengan situasi di Myanmar terus menjadi topik utama yang menjadi kebimbangan negara anggota.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial