Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Keunikan Cita Rasa Malaysia , Sajian Utama Pemimpin ASEAN

24/05/2025 04:12 PM

 

Oleh Lucia Terey John

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Di sebalik kehangatan perbincangan diplomatik dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, terselit satu lagi tugas mencabar Malaysia yang perlu disempurnakan. Bezanya bukan di meja rundingan tetapi di dapur Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Mengetuai misi kulinari berskala antarabangsa ini ialah Ketua Jurumasak KLCC Hisham Jaafar, 52,  yang lebih 15 tahun mengabdikan diri dalam dunia masakan bertaraf tinggi di pusat konvensyen ternama itu.

Bagi Hisham, ini kali ketiga beliau memikul tanggungjawab menyediakan hidangan untuk acara berprofil tinggi, selepas kali terakhir 10 tahun lepas yang menyaksikan kehadiran pemimpin dunia seperti bekas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan Perdana Menteri India Narendra Modi.

“Kami bersyukur pernah diberi kepercayaan untuk mengendalikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 pada 2015 dan juga pelbagai acara antarabangsa lain seperti Forum Ekonomi Islam Dunia. Mungkin ini sebabnya Pejabat Perdana Menteri meletakkan keyakinan kepada kami sekali lagi,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner

Namun katanya, pengalaman sahaja tidak mencukupi. Tekanan tetap wujud, lebih-lebih lagi apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan sendiri syarat agar setiap hidangan mencerminkan keunikan Malaysia.

Oleh itu, berpegang kepada tema “Malaysian on Plate”, perancangan teliti sudah bermula sejak tiga bulan lepas dengan menu yang dirangka bukan sekadar menyelerakan, tetapi juga mengetengahkan kepelbagaian warisan kulinari Malaysia, iaitu masakan Melayu, Cina dan India, hinggalah ke cita rasa etnik Sabah dan Sarawak.

“Kami tampilkan makanan warisan seperti Baba dan Nyonya, umai dan kinilau dari Sarawak dan Sabah serta kuih-muih tradisional seperti seri muka, bingka, roti jala dan murtabak. 

“Mungkin nampak biasa, tapi dari segi kualiti, kami angkat tahapnya supaya para delegasi benar-benar dapat menikmati ‘rasa’ Malaysia,” katanya.

Lebih menarik, kebanyakan bahan mentah yang digunakan juga adalah produk tempatan yang beliau sifatkan bukan sahaja menyokong industri dalam negara, malah menekankan keupayaan Malaysia menghasilkan bahan berkualiti tinggi.

Bagaimanapun beliau mengakui, mengendalikan jamuan pada skala sebegini bukanlah mudah kerana setiap menu perlu disesuaikan dengan selera, budaya dan kepercayaan agama setiap negara ASEAN.

Malah, perubahan jadual saat akhir delegasi dan permintaan diet khas termasuk untuk golongan diabetes dan vegetarian juga menjadi antara cabaran kerana menuntut adaptasi segera dan fleksibiliti tinggi daripada pasukan kulinari beliau.

“Ada masa kami perlu bekerja dari awal pagi sampai lewat malam tetapi tidak mengapa, semua ini berbaloi kerana pengalaman sebegini bukan selalu datang.

Sekarang pun, saya sudah nampak hasilnya kerana sudah ada pasukan pelapis. Kalau satu hari nanti saya bersara, saya yakin mereka mampu teruskan legasi ini, mungkin pada skala yang lebih besar,” katanya dengan nada penuh yakin.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 sedang berlangsung dengan mesyuarat peringkat pegawai-pegawai kanan diikuti mesyuarat peringkat menteri pada 25 Mei manakala mesyuarat ketua-ketua kerajaan pula akan bermula pada 26 Mei.

Sempena sidang itu, dua mesyuarat peringkat tinggi turut berlangsung, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang julung kali diadakan sebagai platform penting memperkukuh kerjasama serantau dan antara rantau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan