IPOH, 24 Mei (Bernama) -- Mula mengusahakan perusahaan kerepek menerusi Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) sejak November tahun lepas, sekumpulan suri rumah dan ibu tunggal tidak menyangka dinobatkan sebagai johan Anugerah Sejati MADANI 2024 peringkat negeri Perak hari ini.
Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Jaya Setia dari daerah Kuala Kangsar membawa pulang piala dan hadiah kemenangan berupa peruntukan projek infra berjumlah RM100,000 yang disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Pengerusi JPKK Kampung Jaya Setia Ebby Shaifullah Yussof berkata perusahaan kerepek dikenali sebagai JS Licious itu diusahakan 15 peserta wanita dan mereka menghasilkan antaranya kerepek labu, kerepek halia, kerepek kacang pis serta kerepek kuih tiram.
"Wang kemenangan yang diperoleh ini akan digunakan bagi menambah baik bengkel perusahaan kerepek serta kami dalam proses untuk mendapatkan pensijilan halal penuh untuk produk yang diusahakan," katanya kepada pada majlis anugerah itu di sini hari ini.
Ebby Shaifullah berkata perusahaan itu memperoleh pendapatan kira-kira RM6,000 sebulan dan mampu mencecah sehingga RM11,000, terutamanya semasa musim perayaan.
"Kini kerepek JS Licious bukan hanya dipasarkan di Perak sahaja, kita telah menembusi pasaran seluruh negara antaranya Kelantan, Melaka serta Johor hasil berniaga dalam talian melalui TikTok Shop dan Shopee.
"Kami mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan negeri atas pengiktirafan yang diberikan selain pejabat daerah dan pejabat penghulu yang banyak membantu sehingga kami menang hari ini," katanya.
Sejati MADANI merupakan inisiatif Kerajaan Perpaduan yang bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti dengan pemberian dana antara RM50,000 hingga RM100,000.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi Program Sejati MADANI yang memberi tumpuan kepada lima sektor iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraf tangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial