Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pelajar SPM Dapat 10A Dijamin Tempat, Biasiswa Di UniKL, UPTM - Ahmad Zahid

24/05/2025 06:22 PM

KUANTAN, 24 Mei (Bernama) -- Pelajar yang memperoleh 10A ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diberi jaminan akan mendapat tempat di dua institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pihak MARA juga turut bersetuju untuk menawarkan biasiswa penuh kepada pelajar cemerlang berkenaan yang melanjutkan pengajian di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).

“Tetapi saya juga ingin memberi peluang kepada pelajar yang memperoleh 5A hingga 10A untuk diberikan tempat di universiti berkenaan,” katanya ketika berucap sebelum melancarkan Skuad Yayasan Pelajaran MARA (YPM) Peringkat Kebangsaan 2025, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. 

Skuad YPM digerakkan sebagai platform untuk memperluas akses pendidikan berkualiti kepada pelajar luar bandar dan B40, di samping memupuk nilai kepimpinan, kesukarelawanan, keusahawanan dan perpaduan dalam kalangan generasi muda.

Ahmad Zahid yang  juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, turut menyarankan pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik agar menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), di 1,398 institusi seluruh negara.

Ad Banner

“Biarpun permohonan bagi kemasukan ke institusi TVET bagi sesi Julai ini baru dibuka pada 15 April, saya amat bersyukur kerana jumlah permohonan telah melonjak kepada 126,000,” katanya yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata beliau akan memohon peruntukan lebih RM4 bilion bagi perbelanjaan MARA dalam belanjawan tahun depan, yang akan dibentangkan pada Oktober ini. 

Beliau berkata peruntukan berkenaan antara lain bagi memperkasakan agenda anak bangsa, termasuk bagi menjalankan pelbagai program pendidikan yang memanfaatkan golongan muda. 

Sementara itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri memperkukuh komitmen melahirkan barisan kepimpinan muda menerusi Program Pahang Lead, dengan meluluskan peruntukan RM2 juta bagi pelaksanaannya tahun ini.

Beliau berkata program yang mula diperkenalkan pada 2024, merupakan inisiatif strategik kerjasama Yayasan Pahang dan Jabatan Pendidikan Pahang, membabitkan lebih 261,000 pelajar sekolah menengah di seluruh negeri.

Kerajaan Negeri Pahang turut menyalurkan dana RM500,000 bagi menyokong inisiatif pendidikan di bawah YPM. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan