Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KDN Bawa Reruai Baharui Pasport, Siap Dalam Tempoh Dua Jam

25/05/2025 06:30 PM

JOHOR BAHRU, 24 Mei (Bernama) -- Buat julung kalinya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) membawa reruai bagi urusan membaharui pasport untuk memudahkan rakyat mendapatkan dokumen itu secara terus dan dalam tempoh yang singkat.

Timbalan Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik KDN Yusniza Yusuf berkata sebelum ini urusan dokumentasi berkaitan pasport perlu dijalankan di kaunter, namun program tiga hari itu membolehkan urusan berkaitan pasport dibuat sepanjang program berlangsung.

Beliau berkata dengan adanya reruai yang dibuka semasa Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Johor, orang ramai boleh mendapatkan dokumen itu secara terus asalkan mereka membawa pasport terdahulu yang telah tamat tempoh.

“KDN sebelum ini hanya ‘turun padang’ pada program tertentu anjuran kerajaan, membawa bas bergerak atau membuka reruai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang berkaitan dengan urusan MyKid, kad pengenalan, surat beranak dan sijil kematian.

“Setelah melihat urusan berkenaan dokumen itu mendapat sambutan menggalakkan, buat pertama kalinya kita ‘turun padang’ dengan melibatkan Jabatan Imigresen pula untuk tujuan berkaitan pasport,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yusniza berkata rakyat di Johor cukup bertuah kerana mereka tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan pasport setelah membaharuinya di reruai yang dibuka selama tiga hari itu bermula semalam.

Ad Banner

“Jika sambutan bagi urusan membaharui pengenalan diri ini mendapat sambutan yang baik, kita akan meneruskan usaha ini dalam program yang lain termasuk pada PMR akan datang,” katanya.

Beliau berkata pada PMR di Johor, pihak KDN turut menyediakan perkhidmatan rujukan berkaitan penerbitan naskhah al-Quran yang dibenarkan dicetak atau sebaliknya.

“Orang ramai juga boleh membuat penukaran al-Quran yang diragui atau tidak sah cetakannya termasuk yang tiada kebenaran KDN.

“Selain itu, KDN melalui Polis Diraja Malaysia membuka kaunter semakan dan pembayaran saman dengan diskaun 50 peratus,” katanya.

PMR dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi sebagai sebahagian daripada usaha berterusan di bawah kerangka Malaysia MADANI untuk membawa perkhidmatan kerajaan secara langsung kepada rakyat di negeri terpilih.

Bertemakan 'Belia MADANI, Yakin Boleh!' PMR 2025 Johor membawa lebih 100 perkhidmatan secara langsung yang disediakan oleh agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Kementerian Belia dan Sukan bertindak sebagai kementerian peneraju bagi PMR itu manakala kerajaan negeri pula sebagai tuan rumah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan