Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

GCC Suarakan Kebimbangan Berhubung Isu Myanmar, Gesa Penyelesaian Kukuh

24/05/2025 07:59 PM

Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menyuarakan kebimbangan berhubung suasana politik dan kemanusiaan yang semakin merosot di Myanmar, dengan menyatakan bahawa tidak banyak kemajuan dicapai bagi memulihkan keamanan di negara itu sejak rampasan kuasa tentera pada 2021.

Semasa mengakui kerumitan dan sensitiviti isu tersebut, Penolong Setiausaha Agung GCC bagi Hal Ehwal Politik dan Rundingan Dr Abdel Aziz Abu Hamad Aluwaisheg menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri, dan beliau menggesa supaya penyelesaian yang lebih konkrit ditampilkan.

“Kita amat prihatin dengan apa yang berlaku di Myanmar,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif pada Sabtu.

Beliau kini berada di ibu negara di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang akan berlangsung bersama-sama Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada 26 dan 27 Mei.

Respons ASEAN terhadap krisis Myanmar tertumpu kepada Konsensus Lima Perkara yang diterima pakai pada 2021, yang termasuk gesaan agar keganasan dihentikan segera dan diadakan dialog melibatkan semua pihak berkaitan.

Ad Banner

Aluwaisheg berkata GCC secara konsisten membangkitkan isu Myanmar dalam mesyuarat-mesyuarat dengan ASEAN sebelum ini dan menegaskan sokongan terhadap usaha pelbagai hala yang lebih luas.

"Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) cuba memainkan peranan, tetapi saya fikir usaha mereka dikecewakan oleh kerajaan Myanmar. Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga cuba memainkan peranan," katanya.

Beliau turut menekankan keperluan bagi pelarian Rohingya yang kebanyakan lari ke negara jiran, untuk kembali ke negara asal dengan selamat dan bermaruah, di samping menggalakkan sokongan antarabangsa yang lebih kukuh terhadap usaha berterusan PBB di Bangladesh.

Krisis Myanmar yang semakin meruncing terus menjadi ujian besar bagi blok serantau itu.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia telah mengambil peranan penting dalam memudahkan penglibatan konstruktif dengan pihak berkepentingan dalam mencari penyelesaian yang mampan kepada krisis tersebut.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan