Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghafar
KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang pertama, bakal menjadi langkah penting ke arah memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai bidang antara tiga pihak, kata Penolong Setiausaha Agung GCC bagi Hal Ehwal Politik dan Rundingan Dr Abdel Aziz Abu Hamad Aluwaisheg.
Beliau berkata sidang kemuncak itu yang dijadualkan diadakan buat julung-julung kalinya pada 27 Mei, diasaskan berdasarkan momentum Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan mencerminkan kepentingan bersama dalam kalangan tiga pihak berkenaan, yang secara kolektif mewakili lebih 40 peratus daripada perdagangan luar GCC.
“Kita dapat melihat potensi besar untuk bekerjasama – ASEAN, GCC, dan China – terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, keselamatan, dialog politik, pendidikan dan kerjasama tenaga.
“China ialah rakan kongsi yang sangat rapat dengan GCC dan rakan karib ASEAN, jadi amat wajar untuk mengadakan sidang kemuncak tiga pihak ini,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini hari ini.
Abdel Aziz turut menekankan hubungan dinamik ASEAN-GCC yang semakin berkembang, menyatakan bahawa perdagangan dua hala antara dua kumpulan serantau itu melebihi USD150 bilion setiap tahun, menjadikan ASEAN antara rakan dagang utama GCC.
“ASEAN ialah rakan kongsi yang sangat penting untuk GCC … setiap anggota ASEAN juga mempunyai hubungan istimewa termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei,” katanya dan menambah kolaborasi antara tiga pihak yang semakin meningkat juga dapat dilihat dalam bidang keselamatan, khususnya kerjasama maritim.
Mengulas lanjut berhubung kerjasama maritim antara ASEAN, GCC dan China, beliau mengakui tahap penglibatan berbeza dalam kalangan negara anggota ASEAN dalam pengaturan keselamatan sedia ada di bawah Gabungan Angkatan Maritim, yang merangkumi pasukan dari 34 negara, untuk menjamin kestabilan maritim.
Abdel Aziz berkata ketidakstabilan maritim memberi kesan bukan sahaja kepada negara Teluk, tetapi juga kepada rakan dagang utama di Asia.
“Dari sudut ekonomi, tiga kumpulan ini (ASEAN-GCC-China) ialah pemain yang amat penting. Kami mengiktiraf peranan konstruktif China di Asia Timur, peranan ASEAN di Asia Tenggara dan kami juga percaya bahawa GCC memainkan peranan penting dalam keselamatan dan kestabilan di rantau kami.
“Misalnya, kami semua terjejas dengan cabaran keselamatan maritim. Ia memberi kesan terhadap perdagangan China dengan Eropah kerana ia melalui Laut Merah, rantau kami. Kami terkesan, begitu juga semua negara Asia, jadi kita perlu bekerjasama,” katanya.
Beliau juga yakin bahawa mekanisme formal boleh diguna pakai untuk memastikan hasil daripada sidang kemuncak tiga pihak yang akan berlangsung itu, dapat dilaksanakan.
“Diharapkan pada penghujung sidang kemuncak ini, kita semua akan bersetuju dengan mekanisme untuk membuat susulan hasil … supaya hasrat ketua negara dan ketua kerajaan dapat dilaksanakan,” katanya,
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” ialah tuan rumah bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Bersempena dengan sidang kemuncak berkenaan, dua mesyuarat peringkat tinggi utama – Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China turut berlangsung, sebagai platform penting untuk meluaskan kerjasama serantau dan antara rantau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial