SEPANG, 24 Mei (Bernama) -- Malaysia mulai menerima delegasi diplomatik dari pelbagai negara petang ini untuk menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Mesyuarat Berkaitan di ibu negara.
Antaranya ialah Menteri Negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) Khalifa Shaheen Almarar yang tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 2.16 petang.
Turut tiba hari ini ialah Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn pada 2.40 petang, diikuti Timbalan Menteri Hal Ehwal Pelbagai Hala Antarabangsa Arab Saudi Abdulrahman Al-Rassi pada 3 petang.
Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste Bendito dos Santos Freitas pula tiba pada 5 petang manakala Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Vietnam Bui Thanh Son tiba di lapangan terbang pada 5.45 petang.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 26 dan 27 Mei, bersama-sama dengan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan.
Sidang Kemuncak ASEAN ini akan menghimpunkan pemimpin-pemimpin dari negara anggota untuk membincangkan perkembangan serantau dan melakar hala tuju masa depan kumpulan serantau itu.
Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, selepas menerajui blok serantau itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial