KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Menteri-menteri Luar ASEAN berhimpun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Mesyuarat Berkaitan hari ini, dengan usaha mencari penyelesaian damai dan inklusif bagi krisis Myanmar menjadi tumpuan utama.
Bercakap kepada media, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Menteri-menteri Luar ASEAN bersetuju untuk terus berinteraksi dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar bagi mencari penyelesaian jangka panjang yang berdaya maju terhadap krisis yang sedang melanda negara itu.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, kami merancang untuk melawat dan berbincang dengan Kerajaan Myanmar kerana kami sudah pun bertemu dengan pelbagai pihak dan kumpulan berkepentingan,” katanya selepas menghadiri Konsultasi Tidak Rasmi mengenai Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang disertai Pengerusi ASEAN terdahulu, semasa dan akan datang, iaitu Laos, Malaysia dan Filipina.
Konsultasi tidak rasmi itu diikuti dengan Konsultasi Tidak Rasmi Lanjutan mengenai Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang turut dihadiri menteri-menteri luar negara anggota ASEAN lain.
Rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 yang menggulingkan pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) dipilih secara demokrasi, Aung San Suu Kyi, telah memburukkan lagi keadaan dan mendorong ASEAN untuk mengecualikan pemimpin Kerajaan Myanmar daripada menghadiri sidang kemuncak dan mesyuarat menteri sejak itu.
Bagaimanapun, pegawai kanan Myanmar masih dibenarkan menghadiri mesyuarat persediaan.
Delegasi Myanmar ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Mesyuarat Berkaitan di ibu negara diketuai Setiausaha Tetap Kementerian Luar, Aung Kyaw Moe.
ASEAN telah menerima pakai Konsensus Lima Perkara pada 2021 bagi menangani krisis di Myanmar selepas rampasan kuasa, yang merangkumi penghentian segera keganasan, dialog inklusif antara semua pihak, pelantikan utusan khas, bantuan kemanusiaan serta lawatan oleh utusan khas ke Myanmar.
Dalam perkembangan berkaitan, para Menteri-menteri Luar ASEAN turut memuji peranan proaktif Malaysia dalam menangani krisis Myanmar dan menghidupkan semula pelaksanaan Konsensus Lima Perkara.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Enrique A. Manalo berkata, kedua-dua sesi konsultasi mengenai Myanmar yang diadakan hari ini berjalan lancar.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bagi Hal Ehwal Politik dan Rundingan, Dr Abdel Aziz Hamad Aluwaisheg mengecam sekatan berterusan rejim Zionis terhadap bantuan kemanusiaan ke Gaza, dan menyifatkannya sebagai “jenayah perang”.
GCC, yang ditubuhkan pada 1981, terdiri daripada Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), dengan matlamat memperkukuh kerjasama politik dan ekonomi dalam kalangan negara Teluk.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun ini, dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Tahun ini turut menandakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN selepas tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Selain mesyuarat peringkat ASEAN, sidang kemuncak ini turut menampilkan dua platform antara rantau yang penting - Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China - yang mencerminkan pertambahan penglibatan antara Asia Tenggara dan rakan strategiknya dari negara-negara Teluk dan China.
Sidang Kemuncak ASEAN dan Mesyuarat Berkaitan dijangka membincangkan pelbagai isu serantau dan global yang mendesak, dengan situasi di Myanmar kekal sebagai keprihatinan utama negara anggota ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial