KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) yang berlangsung hari ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pembinaan Komuniti ASEAN, termasuk taklimat oleh Sekretariat ASEAN mengenai perkembangan di bawah Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Luar Negeri memaklumkan mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Mesyuarat ini menghimpunkan Menteri-Menteri Luar negara anggota ASEAN bagi membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa utama, selaras dengan tema Pengerusi ASEAN Malaysia, iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’,” menurut kenyataan itu.
Mesyuarat turut membincangkan susulan Kajian Semula Konsensus Lima Perkara mengenai Myanmar oleh Pemimpin ASEAN yang diterajui Malaysia.
Selain itu, mesyuarat menyentuh hubungan ASEAN dengan rakan luar di bawah agenda Hubungan Luar ASEAN, serta mengadakan konsultasi berhubung keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN, termasuk penerimaan garis panduan bagi penyertaan negara itu dalam instrumen perundangan ASEAN menerusi kerangka kerja Menteri-Menteri Luar ASEAN.
Menurut kementerian, hasil mesyuarat ini akan menjadi asas kepada perbincangan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
"Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 kekal komited memupuk Komuniti ASEAN yang bersatu, keterangkuman dan berpandangan ke hadapan, serta responsif terhadap keperluan rakyat dan berdaya tahan menghadapi cabaran serantau dan global," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial