Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

TKFEST 2025 Platform Terbaik Semarak Pelbagai Cabang Seni

25/05/2025 10:44 AM

NILAI, 25 Mei (Bernama) -- Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud bertitah Tunku Kurshiah International Arts Festival 2025 (TKFEST), merupakan platform terbaik bagi menyemarakkan pelbagai cabang seni merangkumi tarian, cantingan batik dan rekaan fesyen dalam kalangan generasi muda.

Baginda turut menzahirkan rasa bangga dengan penganjuran festival tersebut di Negeri Sembilan, yang sinonim sebagai negeri beradat itu, berlangsung dalam semangat muhibbah dan kesejahteraan.

Tuanku Aishah Rohani juga yakin dengan pendedahan berterusan dan sokongan padu semua pihak, negara mampu melahirkan generasi mahir berkarya dan berjiwa besar memelihara warisan bangsa.

“Usaha murni ini bukan sahaja meraikan keindahan seni itu sendiri, tetapi secara tidak langsung dapat memperkukuh ikatan antara generasi merentasi sempadan etnik dan ras, serta sebagai wadah untuk mempamerkan kreativiti dan keagungan budaya bangsa.

“Seni merupakan nadi kehidupan dan manisfestasi budaya bagi sesuatu bangsa, seni bukan sekadar persembahan indah di atas pentas, tetapi juga rakaman sejarah lambang identiti dan terjemahan nilai yang diwarisikan dari satu generasi kepada generasi seterusnya,” titah baginda pada Majlis Perasmian TKFEST 2025 di Kolej Tunku Kurshiah, di sini malam tadi. 

Turut hadir Pengetua Kolej Tunku Kurshiah Nor Hayati Yusoff, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Profesionalisme Dr Mohd Azam Ahmad dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh KPM Dr Zakiah Shafiee.

Ad Banner

Tuanku Aishah Rohani bertitah batik merupakan warisan seni tekstil yang agung telah menghiasi tamadun manusia sejak berkurun lamanya, dan keseniaan itu merupakan satu entiti dan warisan budaya yang perlu dipertahankan.

Baginda bertitah dalam budaya Melayu misalnya, batik menjadi lambang status sosial kebijaksanaan dan kehalusan budi, setiap motif seni itu membawa makna dan falsafah tertentu yang melambangkan kekuatan keteguhan kesucian dan keadilan.

Tuanku Aishah Rohani turut menzahirkan harapan agar seni persembahan tradisional seperti tarian tidak luput ditelan zaman, terutamanya dalam mendepani dunia serba moden ini.

Titah baginda generasi muda perlu diasuh bukan sahaja untuk mengagumi keindahan tarian, malah memahami makna dan jiwa tersembunyi di sebalik setiap persembahan, dan menjadi tanggungjawab pendidik, seniman, ibu bapa dan pemimpin dalam memastikan kesenian ini terus hidup subur dalam jiwa anak bangsa.

“Beta amat menghargai usaha semua pihak menjadikan TKFEST 2025 ini sebagai platfom untuk mengetengahkan bakat muda bagi memperkasakan kreativiti serta menyemarakkan rasa cinta terhadap seni tari,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Khas Tuanku Aishah Rohani kepada kepada pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Tumboh, yang turut dinobatkan sebagai juara bagi kategori pertunjukan fesyen batik TKFEST 2025.

Sementara itu, Nor Hayati dalam ucapannya memaklumkan penganjuran TKFEST kali ini melibatkan penyertaan 12 pasukan daripada 10 sekolah bagi kategori reka cipta produk batik, 14 pasukan daripada 10 sekolah bersaing dalam kategori pertunjukan fesyen batik dan 40 pasukan bagi kategori tarian kreatif.

“Bagi pertandingan tarian kreatif, hanya 10 pasukan layak ke pertandingan akhir. Setiap penyertaan ini bukan sekadar peragaan kebolehan, tetapi satu ikrar untuk memelihara seni bangsa agar tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan alunan persembahan berprestij daripada 58 pelajar kumpulan TKC Wind Orchestra, yang mempersembahkan lagu Lagenda Gunung Ledang dan Nada Ragam Melayu serta persembahan bertenaga kumpulan Sentosa Kolej Tunku Kurshiah, yang menyampaikan medley lagu Keroncong Untuk Ana dan Mustika diiringi vokal harmoni daripada 16 pelajar koir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan