Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Anwar Tekankan Hubungan Malaysia-Laos Yang Erat, Keyakinan Pelaburan

25/05/2025 03:53 PM

PUTRAJAYA, 25 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan penghargaan Malaysia terhadap komitmen dan kerjasama Laos, dalam memperkukuh hubungan bilateral dan serantau, khususnya dalam menyokong Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini.

Bercakap pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari Laos Sonexay Siphandone yang sedang dalam lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia, Anwar memuji pihak berkuasa Laos atas kerjasama berterusan mereka, sambil menyatakan bahawa negara itu telah memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran peralihan dan penyelarasan berterusan bagi aktiviti-aktiviti ASEAN.

“Sejak mereka (Laos) menjadi tuan rumah bagi Permukiman ASEAN dan mesyuarat ketua-ketua kerajaan tahun lepas, Laos telah banyak membantu dan bekerjasama dengan pasukan kami di Malaysia apabila tiba giliran kita untuk menganjurkan (mesyuarat berkaitan ASEAN) sejak awal tahun ini,” kata beliau.

Anwar turut menekankan keyakinan ekonomi yang semakin meningkat terhadap Laos, dengan merujuk kepada kehadiran empat bank utama Malaysia iaitu Maybank, RHB, CIMB dan Public Bank yang beroperasi di negara itu.

“Jadi, dengan kehadiran empat bank Malaysia di sana, ia menunjukkan keyakinan terhadap sistem politik negara itu (Laos), kestabilannya serta dasar pelaburan yang menarik dan juga cara bank pusat menguruskan hal ehwal institusi kewangan,” kata beliau.

Anwar berkata perkara itu akan menyediakan asas kukuh untuk pelaburan lebih besar oleh syarikat-syarikat Malaysia di Laos, Vietnam, Kemboja dan Thailand, di bawah rangka kerja ASEAN yang lebih luas.

Ad Banner

Lawatan rasmi Perdana Menteri Laos itu berlansung menjelang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, sekali gus menekankan hubungan erat dan berterusan antara Malaysia dan Laos.

Anwar berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan fasa kedua inisiatif Rangkaian Tenaga ASEAN, yang akan merangkumi Laos, Kemboja dan Thailand, bersama Malaysia dan Singapura.

Perdana Menteri berkata walaupun fasa pertama menghubungkan Vietnam ke utara Semenanjung Malaysia melalui kabel dasar laut, perbincangannya dengan Siphandone menekankan keperluan untuk mempercepatkan fasa kedua, demi manfaat lebih banyak negara di rantau ini.

“Tetapi bagi fasa pertama, ia adalah kabel dasar laut dari Vietnam ke utara Semenanjung Malaysia. Namun, saya bersetuju dengan Perdana Menteri Siphandone, bahawa kita perlu mempercepatkan pelaksanaan fasa kedua agar ia dapat memberi manfaat kepada Laos, Kemboja dan Thailand ke Semenanjung Malaysia dan Singapura,” kata beliau.

Anwar berkata mereka juga membincangkan mengenai Pelabuhan Thanaleng di Laos, dengan perancangan untuk meningkatkan keterhubungan menerusi satu Memorandum Kerjasama baharu bersama Pelabuhan Pulau Pinang, bagi melancarkan aliran dagangan antara Pulau Pinang, Perlis dan pelabuhan di Laos.

Perdana Menteri berkata kedua-dua pihak telah membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam pembangunan kapasiti, khususnya dalam latihan pengurusan pelabuhan dengan pelabuhan Malaysia seperti Pelabuhan Pulau Pinang, Klang dan PTP, bersedia berkongsi kepakaran dengan Laos.

“Kami turut membincangkan isu-isu seperti tenaga kerja, transformasi digital, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor serta tenaga alternatif termasuk unsur nadir bumi,” katanya, sambil berkata usaha itu merupakan kesinambungan kepada kerjasama sedia ada seperti Memorandum Kolaborasi KTMB-LNRSE berkaitan projek kereta api ASEAN Express,” kata beliau.

Anwar berkata menerusi kereta api berkelajuan tinggi itu, akan dapat mengurangkan masa perjalanan secara ketara antara negara-negara ASEAN dan China, sekali gus mempertingkatkan keterhubungan serantau serta integrasi ekonomi.

Mesyuarat turut menyentuh isu-isu ASEAN yang lebih luas, termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang akan datang serta keterlibatan Perdana Menteri China Li Qiang.

“Kedua-dua negara, Laos dan Malaysia melihat kerjasama ASEAN–GCC sebagai satu bentuk perkongsian yang amat bermanfaat bagi kedua-dua rantau yang pesat membangun dari segi ekonomi,” kata Anwar.

Perdana Menteri turut menyuarakan harapan agar pemimpin ASEAN dapat mencapai kata sepakat mengenai kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN menjelang bulan Oktober, berkemungkinan dalam sesi permukiman Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Mengenai isu Myanmar, Anwar sekali lagi menekankan kepentingan mengekalkan bantuan kemanusiaan dan menyeru semua pihak untuk menghormati keperluan kepada keamanan, gencatan senjata segera, serta penglibatan secara konstruktif melalui Konsensus Lima Perkara ASEAN.

Beliau turut mengalu-alukan kesediaan Perdana Menteri Siphandone untuk datang semula ke Malaysia untuk lawatan kerja dalam masa terdekat, bagi memperkukuh lagi penglibatan antara sektor kerajaan dan swasta kedua-dua negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan