Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Harap ATIGA Dinaik Taraf Pacu Liberalisasi Perkhidmatan Kewangan Serantau

25/05/2025 08:03 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Malaysia berharap Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dinaik taraf akan meliberalkan lagi sektor perkhidmatan kewangan di rantau ini, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata perjanjian dinaik taraf itu, yang dijangka ditandatangani pada Oktober depan, akan melangkaui perdagangan barangan untuk merangkumi sektor perkhidmatan penting seperti tenaga, komunikasi dan perkhidmatan kewangan.

“Bagi semua sektor ini, sememang difahami bahawa setiap negara akan mempunyai pendirian tersendiri apabila melibatkan pelaburan dalam sektor strategik,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di sini, hari ini.

Beliau berkata halangan bukan tarif (NTB), khususnya ke atas perkhidmatan kewangan dan perbankan, terus mengekang perdagangan dalam ASEAN.

“Dalam perdagangan, kita telah meliberalkan sebahagian besarnya, tetapi pelaburan dalam sektor strategik memerlukan fleksibiliti supaya negara anggota ASEAN dapat memahami pendirian antara satu sama lain, terutama apabila kebanyakan negara perlu mengambil kira kepentingan strategik negara masing-masing,” katanya.

Ad Banner

Tengku Zafrul berkata Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), yang dijangka dimuktamadkan menjelang akhir 2025, akan menjadi sebuah ekosistem perdagangan yang lebih inklusif.

“Perdagangan intra-ASEAN kini pada 20 hingga 24 peratus. Saya tidak percaya yang kita tidak boleh capai lebih daripada itu. Sebab itulah ATIGA yang ditambah baik itu tersebut penting, dan juga DEFA yang kita mahu dimuktamadkan, sekali gus menjadi lebih inklusif,” katanya.

Mengenai NTB di ASEAN, beliau berkata sentiasa ada negara yang mempertahankan pendirian mereka dalam usaha melindungi pasaran serta industri masing-masing, dan perkhidmatan kewangan adalah satu daripadanya.

“Malaysia, sudah tentu, secara beransur-ansur telah meliberalkan sektor ini dan kita sudah tidak mengenakan syarat lagi, kecuali jika melibatkan kepentingan negara, contohnya membabitkan syarikat insurans,” katanya.

Walaupun NTB masih merupakan satu cabaran, Tengku Zafrul berkata kekangan yang lebih besar sebenarnya terletak pada usaha untuk menjadikan perdagangan serantau yang lebih mudah diakses oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

PMKS membentuk 99 peratus daripada landskap perniagaan ASEAN, katanya.

Beliau berkata dasar perdagangan yang inklusif dan mekanisme sokongan seperti pembinaan kapasiti, bantuan kewangan dan program kesedaran adalah penting  untuk membantu PMKS menembusi pasaran serantau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan