SEPANG, 25 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong tiba di sini hari ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan sidang kemuncak berkaitan, yang akan bermula esok di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Wong yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 8.57 malam dengan penerbangan komersial, disambut mesra di Kompleks Bunga Raya oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
Sebaik tiba, Wong memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada 28 anggota termasuk pegawai Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat).
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung di ibu negara pada 26 dan 27 Mei ini, berserta dengan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat julung-julung kalinya.
Dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, edisi tahun ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, selepas menerajui blok serantau itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial