Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perpaduan ASEAN Kekal Utuh Di Sebalik Cabaran, Konsensus Lima Perkara Masih Relevan - Setiausaha Agung ASEAN

25/05/2025 11:01 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn menegaskan bahawa blok serantau itu kekal bersatu dan komited terhadap kepusatan dan solidaritinya, meskipun berdepan tekanan luar dan cabaran berterusan seperti ketegangan di Laut China Selatan dan krisis di Myanmar.

Bercakap kepada media di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini, Kao berkata komitmen itu dizahirkan apabila Menteri-Menteri Luar ASEAN yang bersidang dalam empat mesyuarat berasingan semalam secara kolektif mengulangi bahawa kekuatan ASEAN terletak pada perpaduan dan peranan kepusatannya dalam rantau ini.

“Mesejnya sangat jelas. Menteri-Menteri Luar ASEAN bukan sahaja menekankan perpaduan, tetapi turut menegaskan bagaimana ASEAN akan terus bekerjasama menghadapi waktu yang mencabar ini,” katanya.

Kao, yang mengetuai delegasi Sekretariat ASEAN ke Sidang Kemuncak ini serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama, berkata ASEAN secara konsisten menyuarakan pendirian bersama dalam isu serantau dan global, sama ada dalam kalangan anggota sendiri mahupun ketika berinteraksi dengan rakan luar.

Mengulas pengumuman Malaysia untuk menghantar delegasi ke Myanmar bagi meneruskan penglibatan dengan pihak berkepentingan di sana, beliau menyifatkan langkah itu mencerminkan peranan aktif Pengerusi ASEAN dan Utusan Khas ASEAN Mengenai Myanmar.

“Kita dapat lihat bahawa di bawah Kepengerusian Malaysia tahun ini, negara ini sangat proaktif dan konsisten dalam memimpin ASEAN, khususnya dalam usaha mendekati Myanmar,” katanya.

Ad Banner

Sebagai contoh, beliau merujuk kepada tindakan pantas Malaysia bersama Thailand yang memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN bagi membincangkan kaedah penyaluran bantuan apabila Myanmar dilanda gempa bumi bermagnitud 7.7  pada Mac lepas.

“Mesyuarat itu diadakan segera untuk menyelaras pendirian bersama ASEAN. Susulan itu, kita menyaksikan penghantaran bantuan kemanusiaan kepada Myanmar, sama ada secara kolektif mahupun individu oleh negara anggota,” katanya.

Kao turut memaklumkan bahawa ASEAN terus memainkan peranan penting dalam menggerakkan sokongan serantau dan antarabangsa menerusi platform yang diselaraskan ASEAN.

Mengenai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, Kao berkata ASEAN kekal teguh dengan pendiriannya.

“Kita mahu melihat satu gencatan senjata jangka panjang, penolakan keganasan, dialog politik yang inklusif serta peningkatan bantuan kemanusiaan bagi membantu rakyat Myanmar yang terkesan akibat krisis politik dan bencana alam baru-baru ini,” katanya.

Menjawab soalan sama ada ASEAN akan mendesak junta tentera Myanmar mengadakan rundingan langsung dengan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) dan pihak berkepentingan lain, Kao mengulangi pendirian ASEAN:

“Kita mahu melihat dialog politik yang inklusif melibatkan semua pihak berkepentingan utama. Apa yang saya perhatikan ialah Malaysia agak ke hadapan dalam menunjukkan kepimpinan, dengan sokongan negara anggota ASEAN,” katanya.

Walaupun terdapat kebimbangan terhadap pengaruh luar dan perpecahan dalaman, Kao menegaskan bahawa konsistensi, perpaduan dan komitmen ASEAN terhadap keamanan dan kestabilan serantau kekal tidak berubah.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan