Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Gesa ASEAN Tingkat Kerjasama Demi Peralihan Tenaga Adil Dan Inklusif - Fadillah

26/05/2025 12:18 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, menggesa negara-negara anggota untuk mempertingkatkan kerjasama serantau bagi mendorong peralihan tenaga yang adil, selamat dan inklusif sejajar dengan matlamat iklim dan permintaan tenaga yang semakin meningkat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata masa hadapan tenaga rantau ini, perlu diasaskan kepada perpaduan, rangka kerja yang praktikal dan manfaat bersama.

“Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia komited sepenuhnya untuk mempromosikan dialog, membina konsensus dan memperkukuh rangka kerja serantau yang akan menjana masa hadapan tenaga yang lebih bersih, lebih selamat dan lebih inklusif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Mesyuarat Peralihan Tenaga ASEAN: Memperkukuh Kerjasama Serantau anjuran MyDigital, di sini, hari ini.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata permintaan tenaga di ASEAN berkembang lebih pantas daripada purata global, iaitu pada kadar tiga peratus setahun dan dijangka meningkat lebih daripada 60 peratus menjelang tahun 2040, memberikan peluang serta cabaran.

“Pertumbuhan ini, walaupun mencerminkan kedinamikan ekonomi kita, meletakkan kita dalam dilema yang mendesak: bagaimana kita dapat terus memacu kemajuan sambil melindungi kelestarian alam sekitar dan memastikan keterjangkauan kepada semua?

Ad Banner

“Jawapannya terletak pada satu peralihan tenaga yang dikendalikan dengan baik, inklusif, dan diselaraskan dengan rapi, sesuatu yang mencerminkan kepelbagaian ASEAN sambil memajukan visi bersama,” katanya.

Beliau turut mengetengahkan kemajuan ASEAN di bawah Pelan Tindakan ASEAN bagi Kerjasama Tenaga (APAEC) Fasa II, dengan menyatakan bahawa tenaga boleh diperbaharui kini merangkumi 34 peratus daripada kapasiti elektrik yang telah digunakan, walaupun perkongsiannya dalam jumlah bekalan tenaga utama kekal pada 16 peratus.

“Vietnam telah memperluas kapasiti solar dengan pesat melebihi 20 GW sejak tahun 2019; Indonesia mengetuai Just Energy Transition Partnership untuk beralih kepada sumber tenaga yang lebih bersih dengan sokongan sekurang-kurangnya USD20 bilion; Thailand telah mengamalkan model Bio-Circular-Green Economy untuk menyelaraskan kelestarian dengan produktiviti,” katanya.

Beliau turut mengulangi sasaran Malaysia untuk mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2050 di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Fadillah berkata integrasi serantau amat penting, terutamanya melalui mekanisme seperti Grid Tenaga ASEAN (APG) yang bertujuan membuka perdagangan kuasa rentas sempadan, dengan memanfaatkan taburan sumber tenaga boleh diperbaharui yang tidak sekata di rantau ini.

“Projek Integrasi Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP) merupakan contoh utama perdagangan elektrik multilateral yang membolehkan negara-negara bekerjasama untuk membekalkan tenaga boleh diperbaharui merentasi sempadan.

“Dari perspektif nasional, Malaysia telah memulakan perdagangan elektrik hijau rentas sempadan yang pertama dengan Singapura melalui ENEGEM (Pertukaran Tenaga Malaysia). Dalam tempoh hanya 148 hari, lebih 107 TWh elektrik hijau yang dijana daripada solar dan hidro, berjaya dihantar merentasi Tambak ke Singapura,” tambahnya.

Beliau menegaskan keperluan untuk menyelaraskan atribut hijau seperti Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) di seluruh rantau ini, bagi meningkatkan keyakinan pelabur dan mengelakkan pengiraan berganda.

“Malaysia menyokong sepenuhnya satu rangka kerja ASEAN yang menyeluruh untuk atribut hijau yang sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa,” katanya, sambil menambah bahawa perkara ini akan menjadi antara keutamaan semasa Pengerusian ASEAN oleh Malaysia.

Fadillah berkata Malaysia akan menggunakan platform sedia ada ASEAN, serta perkongsian baharu seperti ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk dan dialog ASEAN-China, sambil menyatakan bahawa negara-negara Teluk membawa kepakaran besar dalam tenaga boleh diperbaharui berskala utiliti, manakala China menawarkan teknologi dan pembiayaan.

“ASEAN mesti berunding dari satu posisi kesepaduan. Pendekatan serantau yang diselaraskan meningkatkan kuasa tawar-menawar kita, menarik pelaburan berskala besar dan menghantar isyarat kukuh bahawa ASEAN terbuka kepada perniagaan hijau,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan