ISKANDAR PUTERI, 26 Mei (Bernama) -- Operator perkhidmatan air Johor, Ranhill SAJ Sdn Bhd bersetuju untuk memberikan rebat 15 peratus bagi bil air bulan Mei, kepada semua pengguna yang terkesan gangguan bekalan air baru-baru ini.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ia melibatkan 155,074 akaun, termasuk kategori domestik dan bukan domestik seperti kediaman individu, rumah ibadat, institusi kebajikan, premis perniagaan dan industri.
“Saya berharap inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberi kelegaan kepada mereka yang terjejas,” katanya ketika sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini, hari ini.
Onn Hafiz berkata lagi satu pasukan petugas juga telah ditubuhkan, untuk memastikan perkara seumpamanya tidak lagi berlaku.
Terdahulu, media melaporkan kerosakan luar jangka pada pam utama LRA yang memproses air mentah Sungai Johor pada 20 Jun, mengakibatkan agihan lebih 318 juta liter air terawat sehari bagi kawasan Johor Bahru dan Iskandar Puteri, terputus melibatkan lebih 100,000 akaun pengguna.
Bekalan air pulih sepenuhnya pada 24 Jun.
Sementara itu, Onn Hafiz turut memohon maaf kepada semua mangsa yang terkesan dengan gangguan bekalan air baru-baru ini.
“Saya faham, ini bukan satu isu yang kecil. Lebih-lebih lagi apabila ia mengganggu-gugat kehidupan seharian keluarga, menjejaskan pengoperasian sekolah, hospital dan premis perniagaan.
“Bahkan, saya sendiri telah bangkit mencelah pada 22 Mei untuk memberi penjelasan dan tindakan awal untuk menyelesaikan isu yang melanda daerah Johor Bahru ini,” katanya.
Onn Hafiz berkata ketika itu, kerajaan negeri telah mengarahkan Ranhill SAJ untuk membaik pulih kerosakan pada pam air dan menggerakkan segala jentera serta tenaga kerja bagi mengurangkan kesusahan rakyat.
“Sebanyak 42 lori tangki air, 51 tangki statik dan 13,000 karton air mineral telah dihantar ke kawasan-kawasan terjejas sepanjang tempoh tersebut,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial