Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Ucapan Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 Oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

26/05/2025 02:34 PM

[YAB Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan perasmian]
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda,
Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan ASEAN,
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan selamat pagi.

Ini adalah satu penghormatan dan keistimewaan buat saya untuk mengalu-alukan kehadiran semua ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46. Selamat Datang.

Malaysia berbesar hati menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun ini – satu tahun yang amat bermakna. Kita memperingati sedekad penubuhan Komuniti ASEAN, satu detik yang mengajak kita untuk menilai pencapaian lalu dan memperbaharui tekad bersama. Pada masa yang sama, kita akan merangka sebuah visi 20 Tahun yang berpaksikan masa depan, yang menuntut komitmen tidak berbelah bahagi dan iltizam kolektif semua pihak.

Pencapaian-pencapaian penting ini telah menyuntik semangat baharu yang lebih optimistik serta meningkatkan keyakinan terhadap ASEAN, yang didukung oleh ketahanan luar biasa di sebalik perkembangan global yang semakin rumit dan mencabar. Pada masa ini, kita sedang menyaksikan peralihan dalam susunan geopolitik dunia, di samping tekanan yang semakin meningkat terhadap sistem perdagangan global, termasuk pelaksanaan tarif unilateral oleh Amerika Syarikat. Perlindungan dagangan kembali menguat, manakala prinsip multilateralisme pula kian terhakis.

Namun begitu, kita bersyukur atas semangat perpaduan dan persaudaraan yang membolehkan Negara-Negara Anggota ASEAN bersatu membentuk pendirian bersama dalam menghadapi pelbagai cabaran.

Ad Banner

Yang harus diberi perhatian ialah tindakan pantas kita dalam menangani isu tarif Amerika Syarikat, melalui penubuhan Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN, sebagai satu langkah penting — bukan sekadar untuk penyelarasan, tetapi juga untuk memperlihatkan ketegasan dan keyakinan bersama.

Berkenaan situasi di Myanmar, kita telah mengambil langkah positif melalui penubuhan Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi mewakili Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2025. Kumpulan ini dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri Thailand Dr. Thaksin Shinawatra, dan telah mengadakan pertemuan di Brunei Darussalam yang diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Baginda Sultan. Yang lebih bermakna, sejak mesyuarat ketiga yang berlangsung di Bangkok, kita telah mencapai kemajuan dalam usaha mencari penyelesaian jangka panjang terhadap krisis Myanmar. Kita turut menghargai kesediaan bekas Perdana Menteri Kemboja Samdech Hun Sen, untuk menjadi tuan rumah bagi mesyuarat akan datang.

Saya ingin menegaskan bahawa sepanjang proses ini, pendekatan secara senyap tetapi berterusan amatlah penting. Langkah yang diambil mungkin kecil, dan jambatan yang dibina mungkin rapuh, namun seperti yang sering diperkatakan, dalam hal yang melibatkan keamanan, jambatan yang rapuh tetap lebih baik daripada membiarkan jurang perbezaan semakin melebar.

Bagi ASEAN, keamanan, kestabilan dan kemakmuran kita sering bergantung kepada satu sistem antarabangsa yang terbuka, inklusif dan berteraskan peraturan, yang disandarkan kepada aliran bebas perdagangan, modal dan mobiliti manusia. Namun, asas-asas ini kini sedang dihakis akibat tindakan sewenang-wenangnya.

Namun begitu, saya amat yakin dengan ketabahan dan daya tahan ASEAN dalam menghadapi cabaran serta ketidaktentuan yang bakal mendatang. Dengan semangat keutuhan dan keyakinan untuk membina masa depan kita bersama, kita akan terus berada di barisan hadapan dalam menempuh perubahan.

Dalam konteks ini, kita berjaya menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan, sebagai bukti jujur niat baik kita untuk memperkukuh dan mengembangkan kerjasama, serta bertindak dengan kejelasan dan ketegasan strategik.

Saya yakin Sidang Kemuncak trilateral ini mencerminkan kejayaan dalam membentuk semula corak perkongsian yang sejajar dengan realiti dunia berbilang kutub pada masa kini. Sidang ini melambangkan kekuatan kesepaduan blok serantau, yang pastinya akan memberikan  impak positif kepada dunia secara keseluruhannya.

Yang paling utama, kita mesti memelihara sistem pelbagai hala dan memastikan model geoekonomi ASEAN-GCC-China terus memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan yang lebih inklusif dan mampan, demi rantau kita dan rakyat kita.

Dalam semangat inilah Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini mengangkat tema “Keterangkuman dan Kemampanan” sebagai teras utama. Ia merupakan satu pendekatan strategik yang berteraskan nilai.

Tema ini bukan sahaja mencerminkan aspirasi kita, malah menzahirkan tanggungjawab yang perlu kita laksanakan. Ia berteraskan keyakinan bahawa masa depan ASEAN harus dibina atas dua tonggak utama, iaitu pertumbuhan yang adil dan lestari, serta ketahanan yang berkekalan.

Prinsip-prinsip ini mesti terpahat sebagai asas kepada agenda dan visi ASEAN. Malaysia menghargai sokongan semua pihak dalam memastikan Pengerusian kita mampu menggerakan visi bersama ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Terutama, 

Dengan ini, saya berbesar hati mengisytiharkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dibuka secara rasmi.

[YAB Perdana Menteri bersedia memalu gong]

Sebelum kita mulakan, saya ingin memohon agar pihak media keluar dari bilik ini.

Terima Kasih.

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan