KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) perlu menjadi rakan penting untuk menjayakan agenda pembinaan Komuniti ASEAN, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar menegaskan bahawa sebagai rakan kongsi utama, AIPA akan memainkan peranan utama dalam merealisasikan penghayatan aspirasi rakyat, memacu kemajuan merentasi tiga tonggak utama ASEAN, serta memperkukuh kesiapsiagaan dan ketahanan rantau ini.
Beliau berkata parlimen dan kongres sesebuah negara berada di barisan hadapan dalam mempromosikan pertumbuhan inklusif dan membina komuniti ASEAN yang mampan, memandangkan setiap keputusan mereka memberi impak besar terhadap rundingan dan pembuatan dasar serantau.
“Setiap keputusan yang dibuat oleh Parlimen atau Kongres pasti akan mempengaruhi perjalanan rundingan. Justeru, saya ingin menegaskan bahawa AIPA perlu diberikan galakan dan pendedahan yang sewajarnya mengenai kerja-kerja dan bahan berkaitan ASEAN,” kata Anwar dalam ucapan perasmiannya pada sesi ASEAN Leaders’ Interface With Representatives of AIPA hari ini, yang berlangsung sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Turut hadir ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, yang juga Presiden AIPA ke-46.
Anwar turut menggalakkan komitmen berterusan AIPA, antara lain dalam menangani isu keselamatan makanan, perubahan iklim, transformasi digital, serta pembangunan ekonomi yang inklusif.
“Pada masa sama, suara rakyat yang disampaikan melalui wakil mereka yang dipilih mesti diambil kira dalam setiap keputusan yang membentuk masa depan rantau kita,” kata beliau.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 diadakan di bawah tema Pengerusi ASEAN 2025 Malaysia, iaitu “Keterangkuman dan Kemampanan.”
Tahun ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Bersempena dengan sidang kemuncak ini, dua sesi libat urus peringkat tinggi iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan, menjadi platform strategik untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antara wilayah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial