Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pelan Kerja Belia ASEAN Bertindak Sebagai Kerangka Kerja Strategik Tangani Isu-Isu Substantif - PM Anwar

26/05/2025 05:04 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Pelan Kerja Belia ASEAN akan bertindak sebagai kerangka kerja strategik untuk menangani isu-isu substantif termasuk soal kestabilan politik, ekonomi, kemampanan dan perubahan iklim, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang melihat isu itu sebagai satu cabaran berkata, ia mesti ditangani kerana isu tersebut penting untuk generasi muda.  

Dalam perkara ini beliau menggesa belia ASEAN supaya lantang, berprinsip dan sedar akan tuntutan zaman, kerana penglibatan mereka adalah penting dalam membentuk masa depan rantau ini.

"Apa yang penting bagi belia adalah untuk menjadi lebih efektif dalam ekspresi, suara hati nurani dan peka dengan tuntutan zaman," katanya dalam ucapan perasmian di sesi Perjumpaan Pemimpin ASEAN dengan Perwakilan Belia ASEAN ke-4 di sini hari ini.

Anwar berkata pemimpin ASEAN memuji perwakilan belia pada sesi perjumpaan itu dan mengesahkan komitmen terhadap pemerkasaan belia dan perpaduan serantau.

"Saya perlu merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga. Saya juga amat kesal kerana kami meletakkan begitu banyak harapan kepada anda, bukan sahaja untuk mewakili negara anda, tetapi untuk membentuk ikatan ASEAN yang sangat padu dan kukuh ini," katanya.

Ad Banner

Anwar berkata kejayaan ASEAN adalah kerana komitmen pemimpin blok itu dan sehubungan itu generasi muda harus belajar dan bekerjasama rapat dengan pemimpin mereka.

"Amat selesa untuk bekerja dengan mereka, untuk berkomunikasi dengan mereka, untuk belajar daripada mereka dan sudah tentu kerana ini, kita dapat membuat keputusan dengan cepat dan pantas," katanya.

Perjumpaan Pemimpin ASEAN dengan Perwakilan Belia ASEAN ke-4 ini diadakan sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN yang sedang berlangsung.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan timbalannya Adam Adli Abdul Halim.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 ini diadakan di bawah Kepengerusian Malaysia 2025 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, dan ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, selepas menerajui blok serantau itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Dua mesyuarat peringkat tinggi yang penting turut berlangsung pada Sidang Kemuncak ini, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat julung kalinya, menjadi platform strategik untuk memperluas kerjasama serantau dan antara rantau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan