KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Malaysia dan Singapura sepakat untuk terus memperkasakan kerjasama dalam bidang pelaburan dan perdagangan dengan memberi tumpuan kepada projek utama melibatkan kedua-dua negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dicapai pada pertemuan beliau dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Lawrence Wong di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
“Saya dan Perdana Menteri Lawrence menyatakan komitmen untuk terus memperkasakan kerjasama pelaburan dan perdagangan selain memberi fokus kepada projek utama seperti JS-SEZ (Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura) dan RTS Link,” katanya dalam kenyataan di sini.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan.
Menurut Anwar, beliau dan Wong turut bersetuju untuk memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi digital, tenaga mampan dan Grid Tenaga ASEAN.
“Malaysia dan Singapura juga sepakat untuk menyelesaikan isu dua hala secara konstruktif demi kebaikan bersama serta hubungan jangka panjang yang harmoni,” kata beliau.
Wong tiba semalam untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan sidang kemuncak berkaitan di KLCC.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung di ibu negara pada 26 dan 27 Mei, berserta dengan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat julung kalinya.
Bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, edisi tahun ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, selepas menerajui blok serantau itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial