PASIR PUTEH, 26 Mei (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memasang solar fotovoltaik (PV) sistem di dua masjid terpilih dengan peruntukan sebanyak RM130,698.
Dua masjid berkenaan ialah Masjid Al-Hijrah Penempatan Semula Nelayan (PSN), Tok Bali, Pasir Puteh di Kelantan dan Masjid Al Huda, Kampung Rantau Abang, Dungun, Terengganu, masing-masing menerima peruntukan sebanyak RM41,999 dan RM88,699.
Ketua Setiausaha PETRA Datuk Mad Zaidi Mohd Karli berkata pemasangan solar berkenaan bukan sahaja mengurangkan bil elektrik bulanan, malah menyokong kelestarian alam sekitar, meningkatkan kesedaran komuniti serta membantu mengurangkan pelepasan karbon dengan menggantikan sumber tenaga konvensional kepada solar.
"Projek-projek CSR ini amat penting dalam usaha untuk kita turut merakyatkan transformasi peralihan tenaga dan solar ini salah satu daripada inisiatif di bawah PETRA.
"Kita galakkan syarikat-syarikat di luar sana mengambil contoh TNB untuk sama-sama dalam peralihan tenaga ini," katanya ketika ditemui di Masjid Al-Hijrah PSN, Tok Bali, di sini baru-baru ini.
Beliau berkata solar PV sistem ini akan dipasang dengan skim Net Energy Metering (NEM) Gomen, iaitu tenaga solar yang dijana pada waktu siang akan terus digunakan untuk keperluan elektrik, dan lebihan tenaga akan dieksport ke grid TNB.
"Lebihan yang dieksport itu akan direkodkan dan akan diimport semula untuk kegunaan pada waktu malam," katanya.
Sementara itu, Imam Tua Masjid Al-Hijrah PSN Tok Bali Amirul Mukminin Mohd Roslan berkata pemasangan solar itu akan memberi manfaat kepada lebih 1,200 penduduk di kawasan berkenaan.
"Insya-Allah, akan ada banyak lagi program dan aktiviti di masjid, khususnya pada waktu malam apabila solar ini dipasang nanti, malah ia juga dapat menjimatkan bayaran bil elektrik yang dikenakan setiap bulan," katanya.
Pengerusi dan Imam Masjid Al-Huda di Kampung Rantau Abang di Dungun, Halim Mamat pula menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada TNB atas sumbangan solar PV sistem yang dijangka dipasang di kawasan parkir masjid.
"Selama ini bil masjid yang berkapasiti 500 jemaah ini dibayar menggunakan tabung pengurusan masjid sahaja. Jumlah wang yang dikumpul melalui pengurusan masjid setiap bulan tidaklah banyak, hanya cukup-cukup untuk menampung kos keseluruhan operasi masjid.
"Insya-Allah dengan penggunaan sistem solar ini dapat menjimatkan bil elektrik kita (masjid) yang mencecah sekitar RM800 ke RM1,000 sebulan. Lebihan wang tabung pengurusan masjid nanti bolehlah kita gunakan untuk perkara lain seperti hiasan dan keceriaan masjid," katanya.
Pemasangan solar PV sistem di kawasan parkir Masjid Al-Huda dijangka menjimatkan bil elektrik sebanyak RM9,307 bagi tahun pertama pengoperasian dan dianggarkan menjimatkan sekitar RM97,228 bagi 25 tahun pengoperasiannya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial