Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sarawak Lantik Perunding Belanda Untuk Kajian Kebolehlaksanaan KIA Baharu

26/05/2025 06:34 PM

KUCHING, 26 Mei (Bernama) -- Sarawak melantik Netherlands Airport Consultants (NACO) sebagai perunding utama bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) yang baharu di Tanjung Embang.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata perunding antarabangsa yang berpangkalan di Belanda itu akan bekerjasama dengan syarikat tempatan, Jurutera Jasa (Sarawak) Sdn Bhd, untuk menjalankan kajian berkenaan yang dijadualkan siap menjelang Februari tahun hadapan.

“Kerjasama strategik ini menggabungkan kepakaran antarabangsa bertaraf dunia dan pengetahuan tempatan yang penting untuk memastikan kajian yang komprehensif dan berkualiti tinggi. Ia akan menjadi satu penilaian yang menyeluruh,” katanya pada sidang media semasa persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Lee berkata perunding yang dilantik itu akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan yang komprehensif, merangkumi penilaian dan pengesahan tapak-tapak yang berpotensi untuk lapangan terbang berdasarkan kriteria teknikal, operasi, alam sekitar dan strategik.

Ini akan diikuti dengan analisis terperinci terhadap tapak yang dipilih bagi menentukan daya maju dan kemampanan dalam jangka panjang.

Lee juga berkata kementeriannya menjangkakan pembangunan lapangan terbang itu akan disiapkan dalam tempoh lima hingga enam tahun selepas laporan kajian kebolehlaksanaan dimuktamadkan.

Ad Banner

“Laporan itu juga akan merangkumi model kewangan, jadi pembangunan ini tidak perlu dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri. Kami terbuka kepada pelabur lain termasuk perkongsian awam-swasta,” katanya.

Beliau berkata NACO dipilih selepas penilaian menyeluruh terhadap kelayakan teknikal, cadangan kewangan dan pengalamannya dalam industri berkaitan lapangan terbang bagi memastikan syarikat itu mampu memenuhi matlamat strategik Sarawak dalam pembangunan sektor penerbangan.

Terdahulu, semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya, Lee berkata usaha sama itu menandakan satu pencapaian penting dalam fasa perancangan awal pembinaan lapangan terbang berkenaan.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, fasa seterusnya akan memberi tumpuan kepada penyediaan pelan induk aerotropolis dan reka bentuk lapangan terbang yang terperinci, merangkumi kapasiti terminal, landasan, kemudahan dan ketersambungan pengangkutan bagi menyokong pertumbuhan masa depan dalam trafik penumpang dan kargo.

"Fasa ini akan menjadi asas kepada pembinaan lapangan terbang itu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan