Oleh Nor Baizura Basri
KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026-2030 dengan tempoh pusingan lebih singkat iaitu lima tahun berbanding perancangan 10 tahun sebelumnya, akan membolehkan semakan dan kemas kini dibuat tepat pada masanya terhadap langkah strategik supaya usaha integrasi antara negara anggota kekal relevan, cekap dan responsif terhadap pembangunan masa depan yang tidak dijangka dan baharu.
Oleh yang demikian, Pelan Strategik AEC itu menerima guna jangka masa lima tahun dari 2026 hingga 2030, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam dokumen mengenai pelan itu baru-baru ini.
Walaupun jangka masa 10 tahun itu memberikan perspektif yang lebih luas dan berjangka masa panjang untuk panduan integrasi ekonomi ASEAN namun, pelaksanaan Pelan Tindakan AEC 2025 bagi tempoh 2016 hingga 2025 memperlihatkan keperluan untuk rantau ini menjadi lebih fleksibel dan responsif ekoran perubahan pantas geopolitik dan keadaan ekonomi.
“Pusingan semakan selama sedekad boleh mengehadkan keupayaan AEC untuk menentukur semula keutamaan sebagai tindak balas kepada landskap politik dan ekonomi yang terus berubah,” menurut kementerian itu dalam dokumen soalan lazim (FAQ) yang dikeluarkan di sini.
Pada taklimat awal media, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz menyifatkan pelan tindakan ekonomi itu tepat pada masanya, menekankan tiga perkara penting iaitu meningkatkan perdagangan intra negara anggota, keterbukaan ASEAN melangkaui rakan dagang tradisional dan kesediaan anggota negara ke arah pembaharuan.
Menurut MITI, di samping meneruskan usaha integrasi serantau, pelan baharu itu memperkenalkan beberapa penambahbaikan penting yang membezakannya daripada pelan terdahulu termasuk mengambil kira megatrend, merangka semula integrasi ekonomi serantau, meningkatkan peranan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, serta penekanan yang lebih utama kepada transformasi digital dan teknologi.
“Pelan Strategik AEC 2026-2030 mencerminkan tahap aspirasi yang lebih tinggi dalam memacu transformasi digital dan teknologi ASEAN. Ia mengguna pakai pendekatan yang lebih bersepadu dan strategik, dengan menjadikan pendigitalan bukan sebagai isu yang terpisah, sebaliknya sebagai pemboleh pertumbuhan, daya saing dan daya tahan merentas semua sektor,” katanya.
Katanya pelan itu memberi penekanan kepada usaha memperkukuh infrastruktur digital serantau, memperluas kesalinghubungan digital, serta memupuk inovasi sebagai pemacu utama ekonomi masa depan ASEAN.
“Agenda mengutamakan pandangan jauh ini meletakkan ASEAN untuk menerajui dan bersaing dalam landskap global yang semakin digital,” menurut MITI.
Selain itu, memandangkan rundingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) yang dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini, pelan strategik itu boleh dianggap sebagai perjanjian penting kerana ia merupakan perjanjian ekonomi digital serantau pertama di dunia.
Bagi PMKS pula, memandangkan penyertaan besar sektor itu dalam ekonomi ASEAN, pelan tersebut meletakkan PMKS bukan sahaja sebagai penerima manfaat daripada integrasi malah juga sebagai pemacu aktif untuk kerjasama sektor dan inovasi, serta pengantarabangsaan produk serta perkhidmatan serantau, tambah MITI
“Ini menandakan peralihan ke arah peranan PMKS yang lebih strategik dan berorientasi pertumbuhan pada masa depan ekonomi ASEAN,” katanya.
MITI memaklumkan bagi warga ASEAN pula, pelan itu menyediakan akses kepada produk dan perkhidmatan yang lebih kompetitif serta harga berpatutan, mudah diperoleh, berkualiti tinggi dan sejajar dengan prinsip kemampanan yang disokong oleh sistem pembayaran digital yang lancar dan selamat.
“Mereka akan menikmati peluang pekerjaan lebih luas merentas negara anggota ASEAN serta mempunyai kelebihan untuk membuat pilihan lebih bijak sebagai pengguna melalui akses yang lebih baik kepada maklumat produk yang tepat dan mekanisme penyelesaian aduan yang lebih kukuh bagi menangani isu berkaitan barangan dan perkhidmatan,” katanya.
Pelan ekonomi ini, yang telah diterima kalangan Pemimpin ASEAN hari ini, merupakan sebuah pelan tindakan komprehensif yang merangkumi enam matlamat strategik, 44 objektif dan 192 langkah strategik.
Pelan itu dibangunkan melalui proses perundingan menyeluruh yang melibatkan semua badan sektoral AEC serta input daripada Tonggak Komuniti ASEAN yang lain, dan turut dirangka melalui perundingan bersama 315 wakil pihak berkepentingan termasuk daripada sektor perniagaan, akademik, masyarakat sivil, ahli Parlimen dan lain-lain.
Satu tinjauan awam peringkat rantau yang melibatkan 7,568 responden dari negara anggota ASEAN dan Timor Leste turut dijalankan bagi tujuan ini.
Pelan strategik itu adalah satu daripada empat pelan strategik di bawah kerangka Visi Komuniti ASEAN 2045.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial