Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perpaduan Tunjang Utama ASEAN Gerakkan Agenda Ekonomi Di Bawah Pelan Strategik AEC

29/05/2025 01:46 PM

Oleh Nor Baizura Basri

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Perpaduan erat dalam kalangan anggota ASEAN merupakan tunjang utama yang menggerakkan agenda ekonomi rantau ini dalam merangka Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026-2030, di tengah-tengah peningkatan dasar perlindungan global ketika ini. 

Satvinder Singh, Timbalan Setiausaha Agung ASEAN yang juga menyelia AEC berkata perpaduan serantau jelas terserlah dalam perbincangan mereka mengenai rancangan ekonomi tersebut di peringkat sekretariat ASEAN.

“Perpaduan untuk menggerakkan agenda ekonomi adalah luar biasa (sebab itu) hasil AEC kita mencapai kemajuan yang pesat,” katanya pada taklimat media mengenai Pelan Strategik AEC 2026-2030 baru-baru ini.

Perpaduan ASEAN itu tepat pada masanya ketika rantau ini mengharungi persekitaran global yang dinamik akibat daripada anjakan geopolitik dan demografi, kemajuan teknologi serta keperluan untuk mencapai kemampanan.

Pelan itu yang dilancarkan hari ini ialah pelan hala tuju komprehensif yang menggabungkan enam matlamat strategik, 44 objektif dan 192 langkah strategik dan membentuk sebahagian daripada keseluruhan Visi Komuniti ASEAN 2045 (ACV 2045), yang disepakati pemimpin ASEAN pada sidang kemuncak ke-46 hari ini.

Ad Banner

Mengenai cara kemajuan pelan strategik itu akan dipantau, beliau berkata Sekretariat ASEAN (di Jakarta) akan menggunakan kaedah kad skor dan pelaporan suku tahunan  untuk memantau perkembangan negara anggota dan memastikan kelancaran pelaksanaan inisiatif.

Apa yang lebih penting adalah hasil daripada inisiatif AEC dan selepas itu disusuli penilaian impaknya, kata Satvinder.

“Akan ada perbandingan antara negara anggota dalam mengukur sejauh mana pelaksanaannya - negara yang telah melakukannya dan yang tidak (melakukannya).

“Kami mempunyai kad skor yang akan dilaporkan semasa mesyuarat supaya negara berkaitan tahu apa yang perlu dilakukan tetapi semuanya masih di peringkat dalaman,” katanya.

Pelan ekonomi lima tahun itu melakar tindakan aspirasi ASEAN untuk menjadi blok ekonomi keempat terbesar dunia selain menetapkan hala tuju bagi integrasi, daya saing dan daya tahan serantau.

Pelan Strategik AEC dibangunkan berdasarkan Pelan Tindakan AEC 2025 dan memberi tumpuan kepada trend jangka panjang seperti pendigitalan, perubahan iklim, peralihan dinamik perdagangan dan demografi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan