Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

DBKL Diminta Teliti Elemen Sejarah Untuk Dikekalkan Dalam Pembangunan Semula Bandar

26/05/2025 07:17 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta meneliti elemen sejarah untuk dikekalkan dalam pembangunan semula bandar melibatkan 139 kawasan yang sudah dikenal pasti, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pengekalan elemen sejarah itu amat penting untuk dijadikan memori terutama bagi penduduk asal sesuatu tempat dalam usaha pembangunan yang lestari dan mampan.

"Kawasan ini pernah menjadi kawasan rumah papan daripada pemindahan sewaktu pembinaan Lebuhraya Pantai Baru (NPE), jadi ada sebahagian daripada sejarah-sejarah ini kerana penduduk antara staf saya pernah dipindahkan ke kawasan ini satu ketika dulu.

"Jadi mereka pun ada kenangan-kenangan membesar di kawasan ini supaya generasi akan datang tahu bahawa sebelum mereka dilahirkan, dalam generasi-generasi sebelumnya pernah ada komuniti seperti ini.

"Saya lihat itu akan membantu kita mempunyai akar yang kukuh termasuk dari segi budaya, identiti dan memori tentang tempat kita dilahirkan dan dibesarkan," katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Taman Rimba Bukit Kerinchi di Pantai Sentral Park yang dibangunkan IJM Land dan Amona Group di sini hari ini.

Ad Banner

Turut hadir Pengarah Eksekutif Perancangan DBKL Datuk Zulkurnain Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IJM Land Datuk Tony Ling dan Pengarah yang juga CEO Amona Group Datuk Che Hasnadi Che Hassan.

Fahmi berkata bagi Lembah Pantai, beberapa kawasan termasuk Taman Bukit Angkasa telah dikenal pasti untuk pembangunan semula kerana terdapat prasarana projek perumahan yang dibangunkan 30 hingga 40 tahun lepas seperti lif kini dalam keadaan usang dan daif.

"Untuk memastikan semua penduduk terutamanya pemilik mendapat manfaat, kita perlu ada undang-undang yang jelas, jadi hasrat DBKL membantu pembangunan semula 139 kawasan di sekitar Kuala Lumpur ini perlu bergerak seiring dengan adanya satu akta baharu iaitu Akta Pembaharuan Semula Bandar," katanya.

Beliau juga berkata ribuan pokok termasuk spesies Meranti Damar, Meranti Daun dan Merawan Siput Jantan akan ditanam semula di Taman Rimba Bukit Kerinchi yang dijangka siap pada akhir tahun ini.

Fahmi berkata beliau telah meminta pihak pemaju mempertimbangkan beberapa aspek termasuk sejarah kawasan itu supaya ia dapat diterapkan ke dalam reka bentuk bagi taman tersebut.

"Kalau kita lihat kawasan Kuala Lumpur memang ada komuniti-komuniti yang telah lama berada di sesuatu kawasan sebelum ia dibangunkan dan saya harap di sini kita dapat meraikan sejarah itu dengan menerapkannya sama ada dalam reka bentuk ataupun pemilihan pokok-pokok.

"Satu ketika dulu, komuniti Kampung Kerinchi memaklumkan ada beberapa kawasan yang digunakan sebagai tempat di mana komuniti datang untuk mencari buluh yang akan dipotong dan dijual, jadi mungkin kita boleh tengok apa spesiesnya," kata beliau.

  -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan