SEREMBAN, 26 Mei (Bernama) -- Kira-kira RM400,000 diperuntukan bagi melaksanakan pembaikan rumah rosak akibat kejadian ribut di Kampung Baru Ayer Hitam, Kampung Dusat dan Felda Lui Barat, Jempol baru-baru ini.
Exco Kanan kerajaan negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata kerja baik pulih itu bermula hari ini di bawah pemantauan Jawatankuasa Bencana Daerah dan dijangka mengambil masa lebih kurang seminggu.
"Setakat ini, 94 rumah dari ketiga-tiga kampung itu dikenal pasti mengalami kerosakan. Sebanyak 25 mangsa daripada enam keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Lui Barat dan mereka akan berada di sana hingga kerja pembaikan selesai,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan lebih 80 rumah di Felda Lui Barat dan enam rumah di Kampung Baru Ayer Hitam di Jempol mengalami kerosakan akibat ribut dan hujan lebat pada petang Sabtu lepas.
Sementara itu, mangsa, Vidawati Khalid, 48, berkata dia dan dua adik-beradiknya kerugian hampir RM30,000 selepas tiga rumah mereka rosak akibat ribut.
Dia berkata detik cemas itu pertama kali dialami dan mereka hanya mampu melihat atap rumah tercabut diterbangkan pusaran angin.
“Alhamdulillah, saya dan dua anak dapat keluar. Ketika itu saya nampak angin kuat berpusing-pusing di ruang tamu, mujur kami sempat menyorok dalam bilik sebelum berlari keluar untuk menyelamatkan diri ke rumah mak,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial