KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Batik Air bakal mencipta sejarah dengan pelancaran laluan antarabangsa pertamanya dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (SZB) ke Bangkok pada 28 Julai, menandakan pencapaian penting dalam usaha mentransformasikan Subang sebagai hab lapangan terbang bandar yang dinamik.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu memaklumkan ia akan mengendalikan penerbangan harian ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang (DMK) di Bangkok, bersama-sama dengan permulaan penerbangan harian ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KCH) pada tarikh yang sama, seterusnya mengukuhkan lagi kesalinghubungan domestik dari SZB.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Datuk Chandran Rama Muthy berkata pelancaran ini menandakan lembaran baharu, dengan para pelancong dapat menikmati keselesaan perjalanan menerusi lapangan terbang yang berhampiran pusat bandar sambil masih dapat mengakses rangkaian serantau yang berkembang.
“Kami berbangga berada di barisan hadapan dalam transformasi Subang menjadi hab pengangkutan udara bandar yang moden. Bangkok hanyalah permulaan.
“Subang menawarkan alternatif pintar dan menjimatkan masa berbanding KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) dan kami percaya ia akan memainkan peranan yang semakin penting dalam masa depan penerbangan Malaysia. Dengan Subang, kami membawa dunia lebih dekat ke Lembah Klang,” katanya.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa dengan kedudukan Subang yang hampir dengan pusat bandar seperti Petaling Jaya, Shah Alam dan Kuala Lumpur, penduduk Lembah Klang kini dapat menikmati pelepasan dan ketibaan yang pantas tanpa perjalanan jauh yang biasanya dikaitkan dengan lapangan terbang yang lebih besar.
Menawarkan penerbangan tujuh kali seminggu, laluan SZB-DMK dijangka menarik minat pelancong Malaysia yang mencari tarikan budaya, makanan, membeli-belah dan pengembaraan di ibu kota Thailand itu.
Sementara itu, laluan SZB-KCH akan meningkatkan akses ke ibu negeri Sarawak, Kuching sebagai hab penting untuk perniagaan, pentadbiran, pendidikan dan pelancongan, sambil menggalakkan lebih ramai penduduk Semenanjung untuk menerokai warisan budaya dan biodiversiti Borneo.
Batik Air juga menjangkakan perkhidmatan baharu ini akan menarik lebih ramai pelawat dari Thailand dan Malaysia Timur untuk meneroka tarikan di Kuala Lumpur dan Selangor, yang menawarkan gabungan warisan diraja, ekopelancongan, taman tema, membeli-belah dan pengalaman gastronomi.
Syarikat penerbangan berkenaan kini mengendalikan penerbangan dari SZB ke Pulau Pinang, Kota Bharu serta Kota Kinabalu dan dengan penambahan Bangkok dan Kuching, Batik Air kini mengendalikan lima destinasi utama dari Subang.
“Ketika Batik Air terus mengembangkan rangkaiannya, kebangkitan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang menandakan era baharu dalam perjalanan udara berasaskan bandar dengan kemudahan, hubungan dan keselesaan digabungkan untuk manfaat semua penumpang,” menurut kenyataan itu.
Untuk maklumat lanjut dan tempahan, sila layari www.batikair.com.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial