Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

HAWANA: Penyertaan Media ASEAN Buka Peluang Tukar Pengalaman, Kepakaran

27/05/2025 09:19 AM

Oleh Shaidathul Suhana Ros

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang bakal disertai pengamal media dari ASEAN akan membuka peluang luas untuk pertukaran pengalaman dan kepakaran dalam bidang kewartawanan moden.

Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia Mohamad Fauzi Ishak berkata platform seperti HAWANA boleh dimanfaatkan oleh pengamal media untuk saling mempelajari pendekatan kerja antara negara serantau terutamanya dalam aspek penguasaan teknologi dan digital.

"Ini akan mengukuhkan hubungan serantau menerusi perkongsian maklumat serta perbincangan pelbagai isu semasa yang dihadapi oleh ASEAN khususnya dalam bidang komunikasi dan penyiaran. Selain itu, ia juga dapat mewujudkan kerjasama strategik yang mampu meningkatkan kualiti penyampaian maklumat di rantau ini.

"Platform seperti HAWANA boleh dimanfaatkan untuk saling mempelajari pendekatan kerja berbeza antara negara anggota ASEAN, selain berkongsi ilmu dan kemahiran, terutamanya dalam penguasaan teknologi dan digital yang kian penting dalam tugasan media masa kini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengenai perbezaan dan persamaan dalam industri media di rantau ASEAN, Mohamad Fauzi yang juga Presiden Kelab Media Johor berkata kebanyakan negara anggota berkongsi prinsip etika kewartawanan yang sama namun terdapat perbezaan dari segi kawal selia dan perundangan media.

Ad Banner

"Industri media di rantau ASEAN mencerminkan kepelbagaian budaya, sistem politik, tahap pembangunan ekonomi, serta kematangan demokrasi yang berbeza antara negara. Setiap negara mempunyai pendekatan yang unik dalam mengurus industri ini.

"Walaupun prinsip etika penyampaian berita adalah serupa, peruntukan undang-undang yang mengawal industri komunikasi dan media tidak konsisten di seluruh rantau ini. Perbezaan dari segi perundangan boleh dimanfaatkan oleh industri media Malaysia untuk terus maju dan sebagai pemangkin masa depan," katanya.

Beliau mengambil contoh Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Februari lepas merupakan antara langkah signifikan untuk menjadikan kawal selia industri media lebih terbuka dan inklusif sekali gus memberi ruang kepada pemain industri untuk turut serta dalam membuat keputusan penting.

Mohamad Fauzi berkata cabaran yang dihadapi media masa kini jauh berbeza berbanding dahulu, terutamanya menerusi penggunaan media sosial dan portal berita yang semakin meluas hingga maklumat boleh tersebar dengan cepat tanpa sekatan selain tidak melalui proses penapisan atau verifikasi teliti.

"Dulu, siaran televisyen, radio dan akhbar merupakan saluran utama. Kini, maklumat disampaikan dengan lebih pantas dan dalam masa nyata. Cabaran dihadapi ialah untuk memastikan kesahihan maklumat dan mengelakkan penyebaran berita palsu, fitnah atau kandungan berunsur ekstrem yang boleh mengancam ketenteraman awam," katanya.

Majlis kemuncak sambutan HAWANA 2025 akan diadakan pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dengan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara dijangka hadir.

HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, menampilkan pelbagai acara termasuk Pesta Pantun pada 31 Mei ini dan majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun, serta forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan