KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 sebagai peristiwa luar biasa dalam konteks Asia Tenggara.
Beliau berkata kehadiran pemimpin ASEAN dan wakil dari negara GCC yang paling dinamik ialah bukti kepada kepercayaan dan persahabatan yang semakin kukuh antara dua blok berkenaan.
Anwar memuji penganjuran sidang kemuncak itu sebagai pencapaian hebat dalam diplomasi serantau dengan negara-negara Teluk, bertujuan mengeratkan lagi hubungan politik, ekonomi dan strategik antara dua rantau.
“(Sidang kemuncak) ini, berdasarkan pengalaman kami di rantau ini, ialah sesuatu yang amat luar biasa, dapat menghimpunkan bukan sahaja pemimpin ASEAN, tetapi juga negara GCC paling dinamik ke rantau ini … untuk bekerjasama, membina kepercayaan dan persahabatan sejati,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Anwar berkata sidang kemuncak itu dibina berdasarkan asas kukuh daripada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang pertama berlangsung di Riyadh pada 2023, menegaskan bahawa penglibatan berterusan mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan antara dua kumpulan serantau.
“Kehadiran anda ialah bukti kepada komitmen bersama untuk memupuk hubungan yang lebih erat antara dua rantau dan memperkukuh hubungan strategik,” kata beliau.
Sebagai mesyuarat utama dalam Sidang Kemuncak ASEAN 2025, Anwar berkata tema kepengerusian “Keterangkuman dan Kemampanan”, menyuarakan aspirasi untuk pertumbuhan yang adil, berpaksikan rakyat dan berpandangan jauh berdasarkan nilai yang selari dengan ASEAN dan GCC.
“Tema ini selari dengan nilai yang dikongsi ASEAN dan GCC – kestabilan melalui perpaduan, kemakmuran melalui kerjasama, dan daya tahan melalui tanggungjawab bersama,” kata beliau sambil menambah GCC ialah rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN pada 2023, dengan nilai mencecah USD130.7 bilion, pelaburan terus berkembang yang mencerminkan keyakinan antara kedua-dua rantau.
Antara pemimpin ASEAN yang menghadiri sidang kemuncak ini ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra.
Turut hadir Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao sebagai pemerhati dan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
Sementara itu, pihak GCC yang menghadiri sidang kemuncak kedua itu ialah Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain Salman bin Hamad Al Khalifa serta Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah.
Timbalan Perdana Menteri Oman Sayyid Asaad bin Tarik al Said, Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal Farhan Al Saud serta Ahli Majlis Tertinggi Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Ras Al Khaimah (RAK) Sheikh Saud bin Saqr Al Qasimi turut menyertai sidang kemuncak berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial