PUTRAJAYA, 27 Mei (Bernama) -- Berikutan penjajaran semula perdagangan yang sedang berlaku, ketidaktentuan rantaian bekalan dan persaingan kuasa-kuasa besar dunia, ASEAN perlu beralih daripada sekadar sebuah blok geografi kepada blok tadbir urus.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata cabaran-cabaran ini bukan lagi ancaman pada masa depan, sebaliknya sudah dirasai dalam harga makanan, rancangan infrastruktur dan juga pasaran buruh.
“Bagi ASEAN, cabaran-cabaran ini menjadi lebih kompleks kerana kepelbagaian ekonomi, keupayaan dan sistem tadbir urus kita, namun inilah juga kekuatan kita.
“Keupayaan kita untuk menyesuaikan diri, bekerjasama dan menjunjung prinsip bersama seperti ketelusan, akauntabiliti dan keterangkuman adalah penentu masa depan serantau,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 anjuran Jabatan Audit Negara (JAN) di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Shamsul Azri berkata tadbir urus pada masa kini bukan lagi hanya mengenai kawalan, sebaliknya perlu mewujudkan kepercayaan dalam kalangan rakyat ASEAN yang semakin berhubung, bermaklumat dan mengharapkan integriti yang lebih tinggi.
“Institusi awam kita mesti bertindak balas bukan dengan birokrasi tetapi dengan keberanian, keterbukaan dan kecekapan. Perkhidmatan awam kita perlu cukup tangkas untuk menterjemahkan cabaran makro ini kepada pembaharuan mikro.
“Usaha pembaharuan perkhidmatan awam di Malaysia didorong oleh agenda yang menyeluruh dan terancang, berpaksikan kepada lima teras reformasi, iaitu nilai dan tadbir urus, modal insan, pembangunan organisasi, penyampaian perkhidmatan serta sinergi awam-swasta,” katanya.
Beliau berkata kepentingan kerjasama turut semakin meningkat dalam sektor awam ASEAN dengan pihak-pihak berkepentingan perlu memainkan peranan lebih besar seperti juruaudit, penggubal dasar dan peneraju tadbir urus digital saling bekerjasama untuk mencipta nilai.
Selaras dengan Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia dan pelantikan Ketua Audit Negara Malaysia sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit ASEAN (AAC), JAN menganjurkan Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 yang julung kali diadakan bermula hari ini hingga esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Persidangan ini menghimpunkan 2,243 peserta dari sektor awam dan swasta, melibatkan negara serantau dan antarabangsa termasuk beberapa Ketua Institusi Audit Tertinggi (SAI) dari negara-negara ASEAN dan Asia seperti Brunei, Filipina, Kemboja, Laos, Maldives dan Yemen.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial