SHAH ALAM, 27 Mei (Bernama) -- Kerajaan Selangor sedang menunggu laporan penuh siasatan berhubung insiden seorang murid didakwa dimarahi guru di hadapan rakannya yang dipercayai berlaku di kantin sebuah sekolah rendah di negeri ini pada 14 April epas.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata ketika ini kes berkenaan sedang disiasat Jabatan Pendidikan Selangor (JPNS) dan sebarang tindakan berhubung insiden itu hanya akan diputuskan selepas siasatan terperinci selesai dijalankan.
“Jabatan Pendidikan sedang lihat perkara ini dan kita tunggu laporan berkaitan. Kita hendak tahu punca kejadian dan tahap kemarahan (cikgu terbabit).
“Kita tidak boleh hukum guru itu terus sebab kadang-kadang mereka tertekan dengan persekitaran yang mencabar … kena saling memahami,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini hari ini.
Baru-baru ini, tular rakaman video berdurasi 2.32 minit yang menunjukkan seorang murid menangis teresak-esak semasa memberi penjelasan kepada guru yang sedang memarahinya.
Susulan kejadian itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata kementerian akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan menyiasat insiden berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial