Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China Pacu Era Baharu Kerjasama Tiga Hala Serantau - PM Anwar

27/05/2025 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang pertama kali diadakan hari ini menandakan detik bersejarah dalam kerjasama antarabangsa, menghimpunkan tiga rakan dinamik yang berkongsi aspirasi serta kejayaan luar biasa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ucapan pembukaannya pada sidang kemuncak berkenaan, Anwar berkata buat pertama kali, ketiga-tiga rantau ini bersidang dalam format yang unik, masing-masing mempunyai warisan tamadun yang kaya, budaya yang berakar umbi serta aspirasi yang dikongsi bersama.

“Ketiga-tiga rantau ini sedang mencatatkan pencapaian memberangsangkan. GCC telah muncul sebagai pusat kekuatan kewangan, kecerdasan buatan dan inovasi digital, dengan tenaga kekal sebagai teras utamanya,” katanya.

Anwar berkata bahawa transformasi China telah melangkaui sempadan negaranya, bukan sahaja mengubah semula ekonomi serantau, malah turut memberi kesan kepada landskap ekonomi global.

“Kaedah mereka dalam membasmi kemiskinan amat berkesan, dan kemajuan dalam prestasi ekonomi, pendigitalan serta kecerdasan buatan (AI) benar-benar mengagumkan,” tegasnya.

"Negara-negara ini sedang berkembang pesat dengan pelbagai pencapaian yang membanggakan. GCC kini muncul sebagai pusat kekuatan dalam kewangan, kecerdasan buatan (AI), dan inovasi digital, dengan sektor tenaga kekal sebagai tonggak utamanya," katanya.

Ad Banner

Anwar menekankan hubungan erat dan berpanjangan antara negara anggota ASEAN, yang sudah lama terjalin, sejak zaman Jalan Sutera kuno dan rangkaian maritim yang aktif di Asia Tenggara, hingga ke koridor perdagangan moden masa kini, rakyat di rantau ini sentiasa berhubung melalui perdagangan, budaya, dan pertukaran idea.

“Sebagai contoh sejarah, pusat seperti Melaka menjadi titik pertemuan penting yang menghubungkan Timur dan Barat, menunjukkan kekuatan keterbukaan, pertukaran, dan hubungan strategik.

Anwar juga menyatakan bahawa semangat kepercayaan dan kerjasama persahabatan di rantau ini kekal sebagai ciri utama di pentas dunia.

“Kita bekerjasama dan berfikir bersama. Dari Jakarta ke Vientiane, dan kini ke Kuala Lumpur serta Manila tahun depan, kita sentiasa menumpukan perhatian kepada isu-isu teras dan asas,” tambah beliau.

Anwar menyifatkan keamanan berterusan dan dinamika ekonomi ASEAN sebagai hasil komitmen bersama ini, sambil menggambarkan blok tersebut bukan sahaja sebagai antara rantau paling aman di dunia, malah antara ekonomi yang berkembang paling pesat di peringkat global.

Anwar turut menyuarakan harapan agar sidang kemuncak ini menjadi permulaan kepada lembaran baharu dalam usaha ASEAN untuk terus menjalin kerjasama luar, sekali gus membuktikan apa yang mampu dicapai apabila rakan-rakan strategik berganding bahu dengan saling menghormati serta berkongsi matlamat yang sama.

“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, saya yakin ASEAN, GCC dan China mampu memanfaatkan kekuatan unik masing-masing untuk membentuk masa depan yang lebih terhubung, lebih berdaya tahan dan lebih makmur untuk generasi akan datang,” katanya.

"ASEAN telah lama membuktikan bahawa konsep semangat serantau yang berasaskan konsensus, penghormatan, dan keterbukaan boleh berjaya. Kami telah maju dan berkembang melalui kerjasama yang kukuh dengan GCC dan China. Hari ini, kami berpeluang untuk memperkukuhkan lagi hubungan ini," tegas beliau.

Turut hadir pada sidang kemuncak itu ialah Putera Mahkota Kuwait merangkap Presiden sesi semasa Majlis Tertinggi GCC Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah, serta Perdana Menteri China Li Qiang.

Antara pemimpin ASEAN yang sidang tersebut hari ini ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra.

Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão turut hadir sebagai pemerhati, bersama-sama Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan