KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan menerima kehadiran pemimpin ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China dan Timor Leste pada Majlis Santapan Diraja di Istana Negara hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata peranan aktif Seri Paduka Baginda dalam mengangkat martabat diplomasi negara amat bermakna dan menjadi tonggak kepada hubungan erat Malaysia dengan negara-negara luar.
“Kebijaksanaan dan kepimpinan Baginda Tuanku selaku Ketua Negara amat dihargai dalam memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas kerjasama serantau yang mendukung kestabilan, kemakmuran dan keharmonian antara negara-negara sahabat,” katanya.
Pemimpin ASEAN yang hadir pada majlis itu ialah Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone dan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh.
Turut hadir Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao.
Mewakili GCC antaranya ialah Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain Salman bin Hamad Al Khalifa, Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah, Timbalan Perdana Menteri Oman Sayyid Asaad bin Tarik al Said, Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal Farhan Al Saud dan Ahli Majlis Tertinggi Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Ras Al Khaimah Sheikh Saud bin Saqr Al Qasimi.
China pula diwakili Perdana Menteri Li Qiang.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang bertemakan 'Keterangkuman dan Kelestarian'.
Ini adalah kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial