Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Timor-Leste Dijangka Menjadi Anggota Penuh ASEAN Menjelang Oktober – Anwar

28/05/2025 12:55 AM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Pemimpin-pemimpin Asia Tenggara bersetuju menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11 blok serantau itu pada Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini, tertakluk kepada pematuhan beberapa syarat yang masih belum dipenuhi bagi keanggotaan penuh.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata para pemimpin telah mencapai kata sepakat untuk menyokong Timor-Leste dalam mengambil semua langkah yang perlu untuk menjadi anggota penuh blok serantau itu.

"Keputusan itu jelas menunjukkan persetujuan untuk menerima mereka sebagai anggota penuh menjelang Sidang Kemuncak akan datang pada Oktober, tertakluk kepada satu atau dua tindakan atau pembaharuan yang perlu dilaksanakan, khususnya berkaitan syarat di bawah tonggak ekonomi," kata beliau pada sidang media mengakhiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini, hari ini.

Timor Leste, yang pertama kali memohon keanggotaan ASEAN pada 2011, telah diberikan status pemerhati pada mesyuarat peringkat tinggi pada 2022. Bagaimanapun, penyertaannya sebagai anggota penuh masih dalam proses penilaian.

Perdana Menterinya Kay Rala Xanana Gusmao, yang turut berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri Sidang Kemuncak  itu dilaporkan optimis untuk memperoleh keanggotaan penuh menjelang akhir tahun ini.

Anwar berkata Timor-Leste sedang mengikuti langkah yang ditetapkan dalam memenuhi parameter dan tonggak utama iaitu merangkumi dimensi politik, ekonomi, dan perundangan, sebagai syarat penting sebelum menjadi anggota penuh ASEAN.

Ad Banner

Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Timor-Leste Bendito dos Santos Freitas, menegaskan bahawa penyertaan negara itu dalam ASEAN bukan sekadar untuk manfaat ekonomi, tetapi juga bagi menguatkan suara negara di peringkat serantau serta selaras dengan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific.

Timor-Leste berusaha menyertai ASEAN sejak 2011. Semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 pada November 2022, ASEAN bersetuju secara prinsip menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11, tertakluk kepada pemenuhan syarat dalam Peta Jalan Keanggotaan Penuh.

Hala tuju tersebut merangkumi tiga pelan kerja fokus kepada isu politik dan keselamatan, kerjasama ekonomi, serta hubungan sosial dan budaya yang perlu dilaksanakan sebelum keanggotaan penuh diberikan.

Anggota ASEAN kini ialah Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dianjurkan di bawah Pengerusian Malaysia bagi 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ semalam, diikuti dua sesi berprestij iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang diadakan buat pertama hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan sebagai pengerusi selepas sidang kemuncak berakhir, Anwar berkata pemimpin ASEAN telah mengarahkan menteri-menteri dan pegawai kanan masing-masing melaksanakan langkah-langkah prosedur bagi penerimaan Timor-Leste pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan pada  Oktober, selain mempercepatkan rundingan mengenai perjanjian ekonomi utama.

“Kami mengarahkan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN, dengan sokongan daripada semua Badan Menteri Sektoral ASEAN (ASMB) yang berkaitan dan Sekretariat ASEAN, untuk memberikan sokongan yang diperlukan bagi memudahkan integrasi Timor-Leste ke dalam Komuniti ASEAN,” menurut kenyataan tersebut.

Negara-negara anggota ASEAN menyambut baik pengoperasian Unit Timor-Leste yang ditubuhkan untuk memantau kemajuan pelaksanaan pelan tindakan keanggotaan serta untuk menyelaraskan sokongan daripada negara anggota ASEAN dan rakan luar.

Menurut kenyataan itu, mereka menggalakkan rakan-rakan mereka agar terus memberikan sokongan kepada Timor-Leste dalam memenuhi kriteria yang telah digariskan dalam pelan tindakan tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan