Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan ASEAN sedang merancang untuk melancarkan rundingan berkaitan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), yang kaya dengan hasil minyaknya.
Beliau yang juga Pengerusi ASEAN 2025 berkata blok 10 negara serantau itu dan GCC telah terlibat dalam beberapa sesi dan perbincangan pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
“(Kami mengadakan) pertemuan pertama dua tahun lepas di Riyadh, Arab Saudi, (yang) lebih kepada formaliti, semata-mata untuk memperkenalkan program itu, dan kami melalui beberapa bidang kerjasama tertentu,” katanya dalam sidang media pada penghujung Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Terdahulu Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah berkata GCC kini merupakan rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN, dengan jumlah perdagangan mencecah USD130.7 bilion (USD1 = RM4.21) pada 2023.
"Kami menyasarkan untuk meningkatkan angka ini kepada USD180 bilion menjelang 2032, kerana masih terdapat potensi besar yang belum diterokai dalam perdagangan dan pelaburan dua hala," katanya.
Putera Mahkota itu yang juga Presiden sesi semasa Majlis Tertinggi GCC membuat kenyataan tersebut semasa Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Beliau juga menyatakan bahawa peningkatan menggalakkan dalam pelaburan asing ke pasaran Asia adalah tanda keyakinan dan integrasi ekonomi yang mampan.
Malaysia telah menandatangani kenyataan bersama untuk memulakan rundingan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-GCC (MGFTA) semalam.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata MGFTA akan membantu mengurangkan tarif, bukan halangan, menggalakkan mobiliti perniagaan dan meningkatkan kerjasama kawal selia, serta menyatakan keyakinan bahawa perdagangan - yang bernilai USD22 bilion tahun lepas - akan terus berkembang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial