KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Seramai 70,000 peminat bola sepak dijangka hadir menyaksikan Perlawanan Maybank Challenge Cup antara Manchester United dan ASEAN All Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Aidil Bolhassan berkata semua pintu masuk stadium akan dibuka seawal 5.30 petang manakala pemeriksaan keselamatan akan dilakukan sebelum dan selepas penonton memasuki stadium termasuk badan serta beg yang dibawa.
Beliau berkata susulan itu, penonton diingatkan agar tidak membawa masuk barangan terlarang seperti mercun, bunga api, suar, topi keledar, pen laser, objek tajam, senjata berbahaya, minuman keras, payung, tongkat, bank kuasa, botol air, ais ketul, pemetik api, mancis, rokok, rokok elektronik, dron, pembesar suara dan gendang (tanpa kebenaran MFL).
"Untuk kelancaran lalu lintas, orang ramai dinasihatkan agar menggunakan pengangkutan awam ke Stadium Nasional Bukit Jalil dan elakkan melalui kawasan sekitar stadium jika tiada urusan berkaitan perlawanan.
"Orang ramai juga diminta mematuhi arahan pegawai polis, mengamalkan sikap berhemah di jalan raya serta tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan kerana tindakan saman dan tunda akan dikenakan kepada kenderaan yang menghalang lalu lintas," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Aidil berkata pihaknya turut mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang mencetuskan kekacauan, rusuhan atau provokasi melampau sebelum, semasa atau selepas perlawanan.
Kali terakhir Manchester United beraksi di Malaysia ialah pada jelajah pramusim 2009 dengan mencatat dua kemenangan ke atas Malaysia XI, masing-masing 3-2 dan 2-0 pada 18 dan 20 Julai di Stadium Nasional.
Juara 13 kali Liga Perdana Inggeris itu, yang menamatkan musim ini di tangga ke-15 dengan 42 mata, turut dijadual meneruskan jelajah pramusim ke Hong Kong untuk menentang pasukan kebangsaan negara tersebut pada 30 Mei ini di Stadium Hong Kong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial