KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- ASEAN berjaya mencapai matlamat yang disasarkan bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan sidang kemuncak berkaitan hasil daripada semangat perpaduan yang padu dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua pemimpin serantau.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sepanjang sidang kemuncak itu berlangsung, kepengerusian Malaysia telah membolehkan perbincangan yang lebih mendalam dengan rakan luar ASEAN, khususnya Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.
Menurut beliau perbincangan dengan GCC terutamanya amat bermakna, kerana ia merupakan dialog konkrit pertama selepas pertemuan awal di Riyadh, Arab Saudi pada 2023.
“Pertemuan pertama di Riyadh lebih kepada formaliti untuk memperkenalkan program itu, tetapi kali ini, terdapat sesi dan perbincangan lebih tersusun yang menghasilkan kenyataan bersama sangat terperinci,” kata Anwar pada sidang media mengakhiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, di sini, hari ini.
Mengenai dialog ASEAN dengan China, beliau berkata kehadiran Perdana Menteri China Li Qiang membolehkan kedua-dua pihak memberi tumpuan kepada bidang kerjasama tertentu.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua kementerian dan agensi yang terlibat dalam penganjuran sidang kemuncak itu, yang merupakan kali pertama Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN di bawah pentadbiran beliau.
Di bawah kepengerusian Malaysia, sidang kemuncak itu memberi penekanan utama kepada usaha mengecilkan jurang pembangunan, melindungi komuniti rentan dan mengukuhkan kepusatan ASEAN dalam kerangka serantau yang sedang berkembang.
Kepimpinan Malaysia semasa sidang kemuncak itu mendapat pujian meluas apabila mengemukakan dengan jelas keutamaan utama termasuk keselamatan makanan dan tenaga, daya tahan iklim, pembangunan mampan, dan kesalinghubungan yang dipertingkatkan di rantau ini dan dengan luar.
Perdana Menteri berkata hasil sidang kemuncak itu mencerminkan komitmen berterusan ASEAN untuk kekal bersatu dan proaktif dalam menghadapi ketidaktentuan global yang semakin meningkat.
“Kita perlu mengekalkan peranan utama ASEAN di rantau ini dan memastikan komuniti kita terus relevan, inklusif dan berpandangan ke hadapan,” kata beliau.
Walaupun mengakui tidak semua isu boleh diselesaikan dengan segera, Perdana Menteri berkata perbincangan kini lebih positif dan bermakna.
"Itu mencerminkan semangat baharu ASEAN. Secara peribadi, saya teruja melihat kesungguhan yang dipamerkan dalam kalangan negara anggota," kata beliau.
Anwar juga menegaskan keputusan serantau tidak boleh meminggirkan mana-mana negara lain, kerana ASEAN berusaha untuk menegakkan kepentingan lebih 650 juta penduduknya.
"Bagi saya, ini adalah satu kemajuan besar, kita mesti melindungi kepentingan satu pertiga daripada penduduk dunia yang tinggal di rantau kita," kata beliau.
Sebagai langkah seterusnya, Perdana Menteri berkata kementerian dan agensi berkaitan dari semua negara anggota ASEAN akan digerakkan untuk memastikan program yang telah dipersetujui dilaksanakan secara berkesan, dengan sasaran mencapai kemajuan menjelang Oktober.
Mengenai perpaduan ASEAN, Anwar berkata para pemimpin mempamerkan tahap komitmen tinggi yang tidak pernah berlaku sebelum ini sejak tiga tahun lalu.
"Telah banyak kali saya mengambil bahagian dalam mesyuarat ASEAN, dan saya boleh katakan bahawa saya tidak pernah melihat komitmen yang begitu jelas dan padu. Keazaman untuk bertindak sangat jelas,” kata beliau.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang diadakan di bawah tema Kepengerusian Malaysia 2025, “Keterangkuman dan Kemampanan,” menandakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, yang mana sebelumnya pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.
Sempena sidang kemuncak itu, dua mesyuarat peringkat tinggi yang penting - Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kalinya - diadakan sebagai platform strategik untuk memajukan kerjasama serantau dan antara rantau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial