Oleh Chiang Hee Tze
KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri China Li Qiang menegaskan bahawa meskipun ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China mengikuti laluan pembangunan berlainan, perbezaan itu seharusnya dilihat bukan sebagai halangan, tetapi sebagai kekuatan yang saling melengkapi dan dapat memperkukuh kerjasama tiga hala.
Dalam ucapan pembukaan pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan di sini hari ini, beliau menyeru ketiga-tiga rantau berkenaan supaya mengubah kelebihan masing-masing menjadi aset bersama, menangani cabaran pembangunan, dan melengkapi sumber demi manfaat bersama.
“Kita perlu berusaha menjadikan kilang kita sendiri menjadi milik semua, sambil saling membantu menangani cabaran pembangunan baharu, meneroka model inovatif untuk kerjasama ekonomi dan industri antarabangsa, serta menggalakkan pembangunan sinergi dengan setiap pihak menyumbang kekuatan, memaksimumkan manfaat dan berkongsi hasil,” katanya.
Li turut menzahirkan harapan supaya tiga rantau itu menjadi contoh global dalam kerjasama merentas tahap pembangunan berbeza.
Beliau mengulangi komitmen China untuk memperdalam penjajaran strategik dengan ASEAN dan GCC berteraskan rasa hormat dan kesaksamaan sambil meningkatkan penyelarasan dasar makroekonomi dan memperkukuh kerjasama industri.
Beliau turut menggesa ketiga-tiga rantau supaya menjadi contoh penyepaduan tamadun, atas kepelbagaian warisan budaya yang kaya, dan bersama-sama memperjuangkan nilai Asia, iaitu keamanan, kerjasama, keterbukaan dan keterangkuman.
“Kita perlu mendalami pertukaran antara rakyat, meletakkan asas kukuh untuk nafas baharu, mengurus perbezaan secara berkesan melalui persefahaman, memupuk kerjasama yang saling menguntungkan menerusi penglibatan intelektual, dan meneroka laluan baharu bagi kemajuan inklusif dalam kalangan tamadun berbeza,” katanya.
Li turut menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjanjikan kesediaan China untuk bekerjasama dengan ASEAN dan GCC bagi melaksanakan Inisiatif Tamadun Global sekali gus memupuk kesepakatan dan momentum ke arah pembangunan yang aman.
“Presiden (China) Xi Jinping pernah menyatakan bahawa untuk keluar daripada situasi yang sukar memerlukan usaha bersama, dan pendekatan paling berkesan ialah sinergi kerjasama.
“China komited berganding bahu dengan ASEAN dan GCC untuk merealisasikan sepenuhnya kesan ‘1+1+1 lebih besar daripada 3’ sekali gus menyuntik dorongan kuat untuk pembangunan dan kemakmuran tiga rantau ini,” kata Li.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial