Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sim Dipuji ILO, Setiausaha Agung ASEAN Atas Kepimpinan Dalam Pembangunan Kemahiran

27/05/2025 09:39 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong menerima pujian daripada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn atas kepimpinan beliau dalam memajukan pembangunan kemahiran dan pelaburan modal insan di rantau ini.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan memaklumkan pengiktirafan itu diberikan sempena peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menganjurkan Simposium Pelaburan Pembangunan Modal Insan ASEAN (AHCDIS) di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, Kao memuji komitmen Malaysia di bawah KESUMA dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) atas kepimpinan berwawasan dalam melancarkan Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025, yang juga inisiatif utama sepanjang tempoh Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN.

“Simposium ini menyediakan platform yang tepat pada masanya dan bermakna untuk mengesahkan komitmen kolektif kita dalam melabur kepada rakyat, arkitek sebenar pertumbuhan dan asas kepada ketahanan serta kemajuan ASEAN,” katanya.

Simposium itu menghimpunkan kira-kira 300 pemegang taruh utama dari seluruh ASEAN bagi membincangkan pelaburan strategik dalam pembangunan kemahiran dan modal insan.

Bertemakan ‘Pelaburan dalam Modal Insan, Pembiayaan Mampan, Perkongsian Awam-Swasta dan Inklusiviti Sosial’, acara itu adalah platform utama di bawah AYOS 2025 yang bertujuan merapatkan jurang kemahiran, menggalakkan mobiliti bakat dan memacu pertumbuhan inklusif di rantau ini.

Ad Banner

AYOS 2025 yang dikendalikan oleh KESUMA menampilkan tujuh acara utama termasuk AHCDIS dan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW), kedua-duanya bertujuan merangsang kerjasama, perkongsian ilmu dan inovasi merentasi negara-negara ASEAN.

Usaha ini selari dengan aspirasi Malaysia untuk menjadikan ASEAN sebagai peneraju global dalam bakat berkemahiran dan pembangunan mampan.

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bagi 2025 menjadi detik penting buat negara dan rantau ini, dengan Malaysia menerajui pelbagai inisiatif dan mesyuarat peringkat tinggi sepanjang tahun yang memfokuskan kepada keterangkuman, kemampanan dan kerjasama serantau.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan