Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Jalan raya menuju ke pusat bandar Kuala Lumpur meriah dihiasi bendera ASEAN dan negara-negara anggotanya, di samping paparan logo dan tema ASEAN di bawah kepengerusian Malaysia, iaitu 'Keterangkuman dan Kemampanan'.
Semua sedia maklum Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan sidang kemuncak berkaitan di ibu negara menghimpunkan ketua-ketua negara dan kerajaan serta pegawai kanan negara anggota untuk merangka pelbagai strategi menangani tarif Amerika Syarikat (AS) dan menggalakkan kerjasama pelbagai hala.
Namun, persoalan yang timbul, apakah makna sebenarnya untuk golongan wanita?
Golongan wanita membentuk hampir separuh jumlah populasi ASEAN, iaitu 334 juta daripada kira-kira 700 juta orang atau 49.9 peratus.
Wanita ASEAN menyumbang tenaga dalam pelbagai sektor sama ada formal atau tidak formal di seluruh rantau Asia Tenggara. Suara mereka dalam kerajaan, bilik lembaga pengarah, institusi pendidikan, komuniti dan di rumah, perlu didengari.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, yang dipengerusikan oleh Malaysia, membawa harapan serantau untuk mencari penyelesaian dan menangani cabaran seperti reaksi dan strategi blok itu dalam menghadapi tarif AS, kerjasama pelbagai hala dan menjalin kerjasama melalui sidang kemuncak tiga pihak yang julung kali diadakan dengan China dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Di luar sidang kemuncak itu, satu sesi menampilkan tiga “bos perempuan” dijangka menjadi perbincangan serius dalam mencari penyelesaian untuk mengangkat wanita ke peringkat lebih tinggi.
Namun, perbincangan itu menjadi sesi pertukaran cerita yang menyentuh hati dan berkongsi pengalaman dalam mengimbangi tanggungjawab rumah tangga dan kerjaya profesional, yang boleh dikaitkan dengan penulis.
Sesi ‘Global Power Hour: Women Pioneering Change Across Continents' yang diadakan di Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN 2025 (AWES 2025), menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia Ng Wei Wei, Timbalan Menteri Perdagangan Indonesia Dyah Roro Esti Widya Putri dan Menteri Perdagangan Kemboja Chan Nimul, turut menjadi tumpuan selain Sidang Kemuncak ASEAN dan yang berkaitan.
Sesi itu dikendalikan oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Walaupun menjadi golongan minoriti di AWES, Tengku Zafrul berjaya mengendalikan perbincangan dengan baik, membolehkan suara dan kisah ahli panel menjadi tumpuan. Kesederhanaannya dipuji kerana sifat kepekaannya dan membiarkan luahan ahli panel terserlah tanpa sebarang agenda pada sepanjang perbincangan itu.
Antara isu yang dibincangkan dan pengalaman yang dikongsi, Chan Nimul berkata walaupun berpengalaman selama 24 tahun dan telah memainkan peranan penting dalam memajukan agenda perdagangan negaranya di pentas global, beliau masih mengutamakan rumah tangganya.
“Saya memegang jawatan menteri dengan mengetahui apa yang saya akan hadapi. Saya tahu apa yang saya jangkakan. Saya tahu apa pendapat umum tentang saya. Saya tahu situasi yang perlu saya tempuh.
“Ada lagi menteri baharu seperti saya tetapi mereka lelaki. Dari perspektif saya, mereka menghadapi tiga medan perang utama. Saya berdepan empat. Pertama, menguruskan institusi atau rumah sendiri. Kedua, bekerja dengan kementerian. Ketiga, mewakili negara di peringkat antarabangsa dan keempat, menjadi wanita dalam kepimpinan.
“Saya seorang ibu, anak perempuan dan wanita berjawatan tinggi. Saya fikir ini akan menjadi satu kelemahan apabila saya bermula daripada kedudukan yang lemah tetapi saya silap. Apa yang saya lihat sebagai kelemahan menjadi kekuatan saya. Orang ramai memandang rendah terhadap saya tetapi itu hanya lebih memotivasikan saya. Itulah yang membantu menaikkan saya,” katanya.
Perkongsiannya itu menarik perhatian hadirin terutamanya wanita yang dapat mengaitkan kisahnya dengan mereka termasuk penulis yang bersetuju dengannya.
Sementara itu, Dyah Roro Esti turut menawarkan pandangan mengenai kehidupan pelbagai dimensi wanita dalam kepimpinan.
“Ramai wanita hari ini mengimbangi pelbagai peranannya. Sebahagian daripada kita ialah isteri, ibu, anak perempuan dan pada masa yang sama, kita juga mungkin sebagai menteri, CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) atau memegang tanggungjawab peringkat tinggi yang lain,” katanya.
“Keupayaan untuk menukar peranan ini dengan baik adalah penting dan ia memerlukan fleksibiliti setiap hari,” katanya.
Bagi beliau, empati adalah teras kepada keupayaan itu - bukan hanya sebagai ciri kepimpinan malah, sebagai mekanisme kelangsungan hidup.
“Mengimbangi jangkaan budaya selain menerajui dengan empati adalah sesuatu yang ramai di antara kita melaluinya setiap hari. Empati membolehkan kita merasai apa yang orang lain alami dan memahami makna situasi mereka. Apabila kita menerajui dengan empati, kita memimpin dengan hati dan bagi saya, itu sangat bermakna,” katanya.
Dyah Roro Esti turut menekankan kepentingan untuk memainkan peranan yang sesuai mengikut konteks tertentu dan membezakan peranannya bersama keluarga, rakan-rakan atau dalam persekitaran profesional.
“Kita, sebagai wanita, tidak perlu berada dalam 'sentimen profesional' sepanjang masa. Kita boleh berada dalam peranan yang paling penting pada masa tertentu.
“Menerima pelbagai peranan ini menjadikan perjalanan hidup lebih bermakna,” katanya.
Mungkin ASEAN boleh mengubah naratif? Walaupun kini kumpulan yang terdiri daripada 10 negara ini memberi perhatian kepada perdagangan, buat kali pertama di Kuala Lumpur, terdapat acara sampingan apabila satu persidangan khas mengenai wanita telah diadakan.
Penyertaan tenaga kerja wanita di ASEAN berada pada purata 48 peratus, di Malaysia sebanyak 56.2 peratus manakala di ASEAN, hanya 27 peratus jawatan pengurusan kanan dipegang oleh wanita.
Menurut Tengku Zafrul, Malaysia bakal menjadi perintis kepada penubuhan Pusat Pemerkasaan Ekonomi Wanita ASEAN yang akan beroperasi di ibu negara, memastikan potensi dan peluang di blok itu dapat diakses oleh semua, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), belia dan wanita.
Dengan tema Kepengerusian ASEAN 2025 negara, ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, saya menjangkakan lebih banyak platform seperti ini.
Mungkin inilah permulaan ASEAN yang lebih inklusif, rantau yang mengambil kira pandangan dan keperluan wanita.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial