Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Putera Faisal: Perkongsian ASEAN-GCC Perlu Pacu Perdagangan, Kemampanan Dan Kestabilan Serantau

27/05/2025 10:30 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama-SPA) -- Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan bin Abdullah menyeru kerjasama ekonomi dan strategik yang lebih kukuh antara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN, dengan menekankan pemudahan perdagangan, transformasi digital dan kestabilan serantau.

Berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 di Kuala Lumpur pada Selasa, Putera Faisal yang mewakili Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud menggariskan keutamaan utama untuk memajukan perkongsian antara kedua-dua rantau, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Beliau berkata perkongsian itu yang diasaskan semasa sidang kemuncak pertama di Riyadh pada 2023 kini mesti memberi tumpuan kepada memperkukuh integrasi pasaran serantau, mempromosikan kemampanan, menggalakkan penglibatan sektor awam dan swasta serta memupuk hubungan antara rakyat yang lebih erat.

“Hubungan ekonomi antara negara kita menawarkan peluang yang menjanjikan dalam sektor utama, termasuk kewangan, pertanian, industri makanan halal serta tenaga hijau dan boleh diperbaharui,” katanya.

Putera Faisal turut memaklumkan bahawa perdagangan antara GCC dan ASEAN berkembang sebanyak 21 peratus dari 2023 ke 2024, dengan jumlah dagangan mencecah kira-kira US$123 bilion pada 2024, sekali gus mencerminkan potensi besar perkongsian itu.

Beliau menggesa kedua-dua pihak memperhebat usaha menghapuskan halangan perdagangan dan memudahkan akses ke pasaran yang lebih mudah.

Ad Banner

Merujuk kepada Persidangan Ekonomi dan Pelaburan yang diadakan di Riyadh pada 28 Mei tahun lepas, beliau menyifatkan acara itu sebagai platform penting untuk pertukaran peluang pelaburan dan menggalakan kerjasama sektor swasta.

Putera Faisal turut membincangkan cabaran global yang dikongsi bersama seperti perubahan iklim, ketidaktentuan pasaran tenaga, serta keperluan untuk memperkukuh keselamatan makanan dan air.

Beliau mengimbas kembali komitmen bersama yang dicapai pada sidang kemuncak pertama untuk menangani isu-isu berkenaan secara kolektif dan menegaskan tekad Arab Saudi untuk bekerjasama dengan rakan kongsi ASEAN dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Mengenai isu Palestin, Putera Faisal sekali lagi mengulangi pendirian tegas Arab Saudi dalam menyokong penyelesaian dua negara, termasuk penubuhan negara Palestin merdeka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.

Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa memperhebat usaha mempromosikan keamanan, menyokong usaha bantuan kemanusiaan di Gaza dan menangani ketegangan serantau melalui pendekatan politik dan kemanusiaan yang komprehensif.

Putera Faisal menambah bahawa Arab Saudi menyokong semua inisiatif yang mengukuhkan kerjasama ASEAN-GCC dan membantu merealisasikan aspirasi bersama ke arah kemakmuran, pembangunan dan kestabilan.

Sidang kemuncak peringkat tinggi yang dihoskan oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, menghimpunkan pemimpin kedua-dua blok serantau untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang politik, ekonomi dan keselamatan.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 diadakan di bawah Kepengerusian Malaysia ASEAN 2025 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, dan ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA-SPA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan