Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PM Anwar Yakin Konsensus ASEAN Akan Buahkan Hasil Pada Sidang Kemuncak Oktober Ini

27/05/2025 10:43 PM

Oleh Noor Bakhtiar Ahmad

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin ASEAN akan membuahkan hasil ketara pada sidang kemuncak seterusnya yang dijadualkan berlangsung pada Oktober ini.

Beliau berkata keyakinannya itu berdasarkan kemajuan luar biasa dalam perbincangan dan semangat komitmen baharu dalam kalangan negara anggota yang ditunjukkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan sidang berkaitan yang berakhir hari ini.

Anwar berkata sebahagian besar tugas yang lazimnya dilakukan pada sidang kemuncak akan datang telah pun diselesaikan, membolehkan rantau ini bergerak ke hadapan dengan lebih jelas dan berfokus.

“Perkara yang biasanya dibincangkan pada Oktober telah selesai kini dan kita sedang mara ke hadapan. Hal ini saya fikir satu perubahan besar,” katanya pada sidang media pada akhir sidang kemuncak itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ad Banner

Mengulas lanjut, Anwar berkata konsensus dalam kalangan pemimpin ASEAN banyak membantu usaha berterusan untuk menyelesaikan krisis Myanmar yang disifatkan beliau sebagai kemajuan penting apabila kedua-dua pihak menjalankan rundingan peringkat rendah bagi melanjutkan gencatan senjata dan menyelaras bantuan kemanusiaan.

“Ia satu perkembangan yang menandakan peralihan daripada kebuntuan sebelum ini, apabila ASEAN menyaksikan kesediaan lebih besar daripada pihak berkepentingan di Myanmar untuk melibatkan diri dalam dialog membina di bawah kerangka Konsensus Lima Perkara.

“Malah, dalam isu Myanmar, konsensus untuk meneruskan penglibatan telah membawa kepada rundingan pada peringkat rendah, menumpukan kepada langkah gencatan senjata berterusan, bantuan kemanusiaan dan perbincangan awal dalam parameter Konsensus Lima Perkara,” kata beliau.

Dalam pada itu, Anwar berkata Timor-Leste dijangka diterima sebagai anggota penuh ASEAN menjelang Oktober ini.

“Timor-Leste, misalnya sudah melalui banyak rundingan tanpa kata sepakat yang jelas, tetapi kali ini akhirnya kita berjaya mencapai konsensus,” kata Perdana Menteri.

Anwar turut menekankan perbincangan berhubung tarif dan perdagangan, walaupun rundingan dua hala sedang dijalankan termasuk lawatan Tengku Zafrul ke Amerika Syarikat baru-baru ini, pemimpin ASEAN bersetuju bahawa keputusan tidak boleh merugikan mana-mana negara anggota.

“Kita perlu melindungi kepentingan 650 juta hingga 660 juta orang, jadi bagi saya, ia kemajuan besar. Dari situ sudah tentu, menteri, kementerian dan pegawai akan bekerja untuk melaksanakan program-program menjelang Oktober,” kata beliau.

Mengulas mengenai momentum semasa ASEAN, Anwar berkata kesatuan dan tekad yang ditunjukkan pada beberapa tahun lepas tidak seperti apa yang disaksikan sebelum ini.

“Sekarang, anda melihat semangat konsensus ASEAN dan keazaman untuk menjayakannya. Saya tidak pernah melihat komitmen sejelas dan sekuat ini sebelum ini.

“Kita tiada pilihan. Kita mesti mengambil langkah yang perlu, Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), Majlis Kerjasama Teluk (GCC), FTA dengan EU (Kesatuan Eropah), ekonomi, perdagangan intra-ASEAN, semua mengakui banyak lagi yang perlu dilakukan, lebih konkrit, jadi menjelang Oktober kita mahu lihat hasilnya,” kata beliau.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan