Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

GCC Ulangi Gesaan Kepada Penyelesaian Isu Palestin Dan Syria

27/05/2025 11:06 PM

Oleh Muhd Anwaruddin Abdul Wahab

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mengulangi pendirian tegas terhadap isu kemanusiaan di Semenanjung Gaza dan hak-hak sah rakyat Palestin, serta menggesa masyarakat antarabangsa memikul tanggungjawab dalam menangani isu yang berlarutan itu.        

Putera Mahkota Kuwait merangkap Presiden bagi sesi semasa Majlis Tertinggi GCC Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah berkata GCC menekankan teras keutamaan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka di sempadan yang ditentukan pada 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota.

“Kami menyeru masyarakat antarabangsa untuk memikul tanggungjawab terbabit dan mengambil langkah berkesan untuk menghentikan pencerobohan, melindungi orang awam, menamatkan pendudukan, dan melancarkan proses damai tulen berdasarkan resolusi antarabangsa yang sah dan Inisiatif Keamanan Arab,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan, di sini hari ini.

Sheikh Sabah juga mengulangi bahawa GCC menghargai pendirian dan sokongan rakan-rakan ASEAN dan China untuk kepentingan Palestin, dan menekankan kepentingan meneruskan sokongan ini dalam pelbagai forum antarabangsa.

Ad Banner

Mengenai situasi di Syria, GCC mengalu-alukan perkembangan positif yang berlaku dan menyatakan sokongan terhadap semua usaha untuk mencapai keselamatan dan kestabilan.

“GCC juga mendukung segala usaha memelihara kedaulatan dan integriti wilayah Syria sekali gus memulihkan keselamatan dan maruah rakyat Syria yang seagama dan membolehkan mereka meneruskan kerja-kerja pembangunan,” titah baginda.

Sidang kemuncak itu ialah inisiatif baharu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN yang bertujuan memperkukuh kerjasama ekonomi tiga hala antara ASEAN, GCC dan China. 

Ia dihadiri pemimpin dari ASEAN, negara anggota GCC dan China.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan