SINGAPURA, 27 Mei (Bernama) -- ASEAN perlu bangkit, bekerjasama dan mencari peranannya dalam dunia yang telah berubah atau berisiko kehilangan relevansi, kata Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong selepas menamatkan lawatannya ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Wong berkata terdapat kesedaran baharu dalam kalangan pemimpin ASEAN mengenai keperluan mendesak untuk memperkukuh usaha integrasi serantau, dan penerimaan Visi Komuniti ASEAN 2045 merupakan langkah penting dan positif ke arah itu.
“Sepanjang dua hari lalu, saya mengadakan banyak pertemuan bermakna bagi membincangkan perkembangan serantau dan global, serta bagaimana kita boleh bekerjasama dengan rakan sehaluan untuk menentukan haluan ke hadapan dalam dunia yang penuh ketidaktentuan ini.
“Terima kasih, Perdana Menteri (Datuk Seri) Anwar Ibrahim atas layanan mesra anda. Saya menantikan ketibaan anda ke Singapura tidak lama lagi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Sementara itu, dalam temu bual bersama media Singapura di Kuala Lumpur, Wong menyatakan rasa gembira kerana para pemimpin ASEAN mengadakan perbincangan secara terbuka mengenai realiti baharu yang dihadapi, dan menyedari keperluan segera untuk memperkukuh integrasi, lapor The Straits Times (ST).
Wong yang turut memegang jawatan Menteri Kewangan, berkata langkah konkrit yang boleh diambil blok itu termasuk melaksanakan sepenuhnya perjanjian sedia ada, mewujudkan perdagangan bebas sepenuhnya tanpa tarif, dan mengurangkan halangan bukan tarif untuk menjadikan perdagangan lebih lancar.
Dalam pada itu, beliau turut memuji kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, dengan menyatakan bahawa negara itu memainkan peranan penting dalam membantu blok tersebut menangani pelbagai cabaran global.
“Malaysia telah membantu mengemudi ASEAN mengharungi cabaran termasuk tindakan tarif oleh Amerika Syarikat, krisis kemanusiaan di Myanmar dan isu sukar seperti konflik di Gaza.
“Ini semua adalah isu global yang turut memberi kesan kepada kita di ASEAN, dan Malaysia telah mengambil peranan kepimpinan untuk membantu ASEAN menanganinya serta merapatkan hubungan dengan rakan strategik,” katanya seperti dilaporkan ST.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial